Mohamad Sabu lakukan lawatan rasmi dua hari ke Brunei

Mohamad Sabu lakukan lawatan rasmi dua hari ke Brunei

Menteri Pertahanan Mohamad Sabu  dalam rangka lawatan kerja dua hari ke Brunei Darussalam bermula hari ini yang merupakan sebahagian daripada siri lawatan pengenalan beliau ke negara-negara jiran sejak menyandang jawatan itu pada Mei tahun lepas.

Menurut kenyataan Kementerian Pertahanan, semasa lawatan, Mohamad dijangka menghadap Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah serta mengadakan pertemuan dengan Menteri Pertahanan Kedua Brunei, Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (Bersara) Dato Paduka Seri Awang Halbi Md Yussof.

“Antara perkara yang akan dibangkitkan ialah usaha ke arah memperkukuhkan jaringan kerjasama pertahanan antara kedua-dua negara di peringkat dua hala dan pelbagai hala, selain bertukar pandangan mengenai isu-isu serantau dan global yang mempunyai kepentingan kepada kedua-dua negara,” menurut kenyataan itu.

Mohamad juga dijadualkan mengadakan lawatan ke Akademi Pertahanan, Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB).

Turut sama dalam lawatan itu ialah Timbalan Ketua Setiausaha Dasar Kementerian Pertahanan Ahmad Nadzri Mohd Hassan dan Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan Markas Angkatan Tentera Malaysia Leftenan Jeneral Datuk Sheikh Mohsein Sheikh Hasan.