Malaysia Dateline

Mohamad Sabu rakam ucapan takziah kepada keluarga anggota TUDM

Presiden AMANAH Mohamad Sabu merakamkan ucapan takziah buat seluruh keluarga anggota tentera yang terbabit dalam insiden di Pangkalan Tentera Udara Butterworth, Pulau Pinang malam tadi.

“Saya menzahirkan rasa sedih, akibat kemalangan tersebut, apabila seorang anggota Tentera Udara Diraja Malaysia meninggal dunia, manakala seorang lagi mendapat kecederaan.

“Semoga Allah SWT mengampuni dan merahmati Allahyarham Kapten Mohamad Affendi Bustamy,” katanya.

Ahli Parlimen Kota Raja itu turut mendoakan agar Mejar Mohd Fareez bin Omar kembali pulih dan mendapat rawatan yang sebaik-baiknya di Hospital Seberang Jaya.

Mohamad juga mengharapkan pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dapat mengambil tindakan sewajarnya untuk memastikan kebajikan anggota dan keluarga mereka terpelihara.

Kira-kira jam 10.00 malam tadi, sebuah pesawat TUDM terhempas ketika sesi latihan di Pangkalan Udara Butterworth TUDM.

Kejadian melibatkan pesawat Hawk MK108 bersama dua juruterbang itu berlaku di dalam pangkalan udara milik TUDM tersebut.