Mohamad Sabu sah di Kota Raja, kekalkan 4 bekas wakil rakyat di kerusi sama

Mohamad Sabu sah di Kota Raja,  kekalkan 4 bekas wakil rakyat di kerusi sama

Parti Amanah Negara (AMANAH) Negeri Selangor hari ini mengumumkan senarai calon di 10 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) dan lima kerusi Parlimen.

AMANAH Selangor masih mengekalkan penyandang bagi kerusi Parlimen dan Dun yang pernah disandang wakil rakyatnya atas tiket Pas pada PRU13 lalu.

Khaled Samad akan kekal bertanding di kerusi Parlimen Shah Alam danturut  mengekalkan Mohamed Hanipa Maidin di Parlimen Sepang.

Presiden AMANAH Mohamad Sabu akan bertanding di kerusi Parlimen Kota Raja dan Naib Presiden Amanah Hasanuddin Mohd Yunus di kerusi Parlimen Hulu Langat.

AMANAH turut mencalonkan kembali Dr Dzulkefly Ahmad di kerusi yang pernah ditandingi beliau pada 2008 dan 2013 kembali bertanding di Parlimen Kuala Selangor.

Turut dikekalkan Timbalan Pengerusi AMANAH Selangor Saari Sungib di Dun Hulu Kelang.

Bagaimanapun Dr Siti Mariah Mahmood penyandang Parlimen Kota Raja, pada PRU14 pula disenaraikan untuk bertanding di kerus Dun Seri Serdang.

Pengumuman itu dibuat oleh Pengerusi AMANAH Selangor Ir Izham Hashim di ibu pejabat AMANAH Selangor. Beliau pula akan bertanding bagi kerusi Dun Pandan Indah.

AMANAH Selangor turut menyenaraikan nama Ketua Pemuda AMANAH Nasional Mohd Sany Hamzan di Dun Taman Templer.

Dun Sabak akan ditandingi Ketua AMANAH Sabak Bernam Ahmad Mustain Othman; (Sungai Panjang) Naib Pengerusi AMANAH Selangor Mariam Abdul Rashid;(Hulu Bernam) Timbalan Ketua AMANAH Selangor Mohd Amran Sakir; (SungaiRamal) Ketua AMANAH Serdang Mazwan Johar; (Meru) Pengerusi Biro Dakwah AMANAH Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar dan; (Morib) Naib Pengerusi AMANAH Selangor Hasnul Baharuddin.

Mohamad ketika ditanya mengenai kerusi ditandinginya di Kota Raja berkata, nama beliau telah disyorkan oleh parti di kawasan Kota Raja.

“Saya disyorkan pihak parti di Kota Raja. Kita yakin kena bekerja keras. Jika ada tidak puas hati itu perkara biasa kerana ini urusan parti,” ujarnya yang berkata untuk memastikan  semua 15 kerusi AMANAH di Selangor dimenangi perlu digerakkan dengan usaha keras membabitkan gabungan Pakatan Harapan.

9.5
OVERALL SCORE
: 10.0
3 user votes x 9.3