Mohamad sambut baik Belanjawan Negeri Sembilan tumpu pembangunan rakyat

Mohamad sambut baik Belanjawan Negeri Sembilan tumpu pembangunan rakyat

Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan menyifatkan Belanjawan Negeri Sembilan 2019 yang dibentangkan dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) semalam, merupakan belanjawan yang baik untuk pembangunan rakyat.

Beliau yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Rantau berkata bagaimanapun, segala dasar dan perancangan itu harus dibuat perlu dilaksanakan dengan teliti, agar tidak mendatangkan masalah kepada kerajaan negeri di kemudian hari.

“Pembentangan Belanjawan Negeri Sembilan 2019 yang dibentangkan semalam amat baik, ada penambahan pendapatan dan bantuan kepada rakyat misalnya kepada ibu tunggal itu semua baik, bantuan bas sekolah dan kita sokongan semua ini.

“Dasar yang dilakukan kerajaan negeri ini dilihat dapat memberi jaminan kepada rakyat serta dapat membela rakyat negeri ini, berikutan mempunyai lebihan pendapatan seperti yang dibentangkan semalam.

“Tetapi, kita harus bijak untuk melaksanakan apa yang dirancang, jangan sampai jadi masalah, itu sebab kita perlu berhati-hati dalam memberi bantuan, bahagikan dan uruskan semuanya dengan baik agar semua rakyat dapat merasainya,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa membahaskan Rang Undang-Undang Enakmen Perbekalan (2019) 2018, pada Persidangam Ketiga (Belanjawan) Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Sembilan Yang Ke-14, dekat sini, hari ini.

Semalam, kerajaan negeri membentangkan belanjawan berimbang berjumlah RM430 juta pada tahun 2019 berbanding RM412 juta pada tahun 2018, meliputi Belanjawan Mengurus dan juga Belanjawan Pembangunan.

Anggaran belanjawan itu adalah pertambahan sebanyak 4.37 peratus atau RM18 juta daripada anggaran pada tahun 2018.

Dalam pada itu, Mohamad juga menasihatkan kerajaan negeri agar berhenti menyalahkan mana-mana pihak, dan sentiasa fokus untuk menguruskan hal ehwal negeri.

“Perkara utama yang perlu diberi tumpuan adalah kepentingan serta kebajikan rakyat, yang terkesan dengan perubahan pentadbiran negara sekarang ini… berhenti salahkan orang lain bila sudah jadi kerajaan sekarang, uruslah negara dan negeri dengan baik, yang paling penting adalah rakyat, rakyat yang terima akibatnya, sudahlah segala janji tidak dibuat, rakyat sudah berkobar-kobar tetapi akhirnya tak ada apa pun.

“Malah apa yang ada dahulu pun, sekarang sudah tidak dapat dirasai lagi, dengan kedaaan ekonomi yang teruk dan macam-macam lagi.

“Jadi dengan adanya penambahan pendapatan dalam Belanjawan Negeri Sembilan 2019 ini, diharap dapat membantu dan peruntukkan yang diberi kepada rakyat itu adalah bagus,” katanya.