Malaysia Dateline

Mohamad sambut ketibaan Presiden Iran ke Sidang Kemuncak KL 2019

Presiden Iran, Hassan Rouhani tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) malam tadi  bagi menghadiri Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019 yang bermula  hari ini hingga Sabtu ini.

Pesawat yang membawa presiden itu mendarat di KLIA kira-kira jam 9 malam dan ketibaan beliau disambut oleh Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu.

 Rouhani adalah antara pemimpin negara Islam termasuk Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan dan Emir Qatar, Sheikh Tamim Hamad Al Thani dijangka menyertai Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada sidang kemuncak itu di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Sidang kemuncak tersebut antara lain bertujuan membincangkan dan mencari jalan penyelesaian baharu serta yang boleh digunakan untuk masalah yang menimpa dunia Islam, dan menyumbang ke arah memperbaiki keadaan umat Islam dan negara-negara Islam.

Ia juga bertujuan untuk membentuk jaringan antara pemimpin Islam, cendekiawan, ulama dan pemikir di seluruh dunia, serta menghidupkan semula tamadun Islam.- BERNAMA