Malaysia Dateline

Mohamad yakin PM nilai semula prestasi KP SPRM baharu

 Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu yakin Tun Dr Mahathir Mohamad  akan membuat penilaian semula, sekiranya prestasi Ketua Pesuruhajaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Latheefa Beebi Koya tidak memenuhi hasrat pengkritik.

Beliau berkata, pelantikan peguam tersebut pada Selasa lalu, mengundang pelbagai kritikan dan pandangan terutamanya daripada peringkat dalaman Pakatan Harapan (PH).

Bagaimanapun katanya, pihaknya tetap yakin Perdana Menteri akan mendengar kritikan terhadap keputusan yang dibuat, dan pada masa sama menilai prestasi Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu itu.

“Saya berkeyakinan penuh bahawa Dr Mahathir mengambil perhatian tentang cara pelantikan dan menjadikan kritikan serta pandangan tersebut, sebagai satu ujian kepada kewibawaan Latheefa untuk menjalankan tugasnya di SPRM.

“Jikalau prestasi Latheefa tidak memenuhi hasrat para pengkritik, saya yakin  Perdana Menreri akan membuat penilaian semula.

“Keadaan ini akan menjadi kelegaan kepada kerajaan PH yang cuba memperbaharui segala bentuk tindakan dan persembahan pemerintahannya kepada masyarakat dan negara,,” katanya menerusi satu kenyataan media hari ini.

Selasa lalu, Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan, mengumumkan pelantikan Latheefa sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu bagi tempoh kontrak selama dua tahun berkuat kuasa 1 Jun lalu.

Latheefa dilantik bagi menggantikan Datuk Seri Mohd Shukri Abdull, yang memilih untuk memendekkan perkhidmatan kontrak beliau lebih awal.

Berhubung pelantikan itu, Dr Mahathir tetap bertegas kerana ia menepati kriteria, apatah lagi Latheefa merupakan calon paling tepat dan tegas bagi menjawat jawatan memerangi rasuah di negara ini.

Pelantikannya adalah selaras dengan subseksyen 5(1) Akta SPRM 2009 dengan diperkenan Yang di-Pertuan Agong.