Malaysia Dateline

Mohamed Nazri ikut jejak Nur Jazlan umum tidak sokong PN

Selepas tiga hari Ahli Parlimen Machang dari Umno, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub mengumumkan menarik diri daripada menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz juga mengambil keputusan sama.

Ahli Parlimen Padang Rengas berkenaan hari ini berkata, keputusannya menarik sokongan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin itu adalah atas pendirian mempertahankan keputusan Umno.

“Dengan ini secara rasminya saya menarik sokongan kepada Tan Sri Muhyiddin untuk membentuk kerajaan sedia ada.

“Keputusan ini ialah kerana bagi saya inilah yang terbaik untuk parti saya. Kita tidak menentukan bila pilihanraya tapi kita tarik sokongan kepada Tan Sri Muhyiddin hari ini,” katanya pada sidang media di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.

Turut hadir dalam sidang media itu Pengarah Pilihan Raya Umno merangkap ahli Majlis Tertinggi (MT) parti itu, Datuk Sri Tajuddin Abdul Rahman yang juga Ahli Parlimen Pasir Salak.

Nazri yang juga bekas Menteri Pembangunan Usahawan itu berkata, dengan keputusan yang diambilnya itu, kerajaan PN hari ini hanya memiliki sokongan 109 Ahli Parlimen sahaja daripada 220 ahli Parlimen.

Dua daripada jumlah keseluruhan Dewan Rakyat, kosong kerana kematian wakil penyandangnya iaitu Liew Vui Keong (Batu Sapi) dan Hasbullah Osman (Grik).

Sementara itu, Pakatan Harapan (PH) hanya memiliki 91 Ahli Parlimen manakala 17 Ahli Parlimen pembangkang lagi tidak menyertai mereka.

Pada 9 Januari lalu, Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno pada dasarnya bersetuju dengan usul menolak kerjasama dengan Bersatu pada PRU-15 akan datang.

Umno pada masa ini mendominasi kerajaan PN dengan mempunyai 39 kerusi berbanding 31 kerusi Parlimen dimiliki Bersatu.

Namun, kerajaan ‘tebuk atap’ PN dipimpin Muhyiddin itu menyaksikan portfolio kementerian strategik atau paling penting diberi kepada Bersatu.