Mohd Amar  dakwa AMANAH tiada sokongan akan berkubur selepas PRU14

Mohd Amar dakwa AMANAH tiada sokongan akan berkubur selepas PRU14

Naib Presiden Pas Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, AMANAH yang mensasarkan bertanding 35 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) di Kelantan perlu sedar bahawa parti itu bukan sahaja kekurangan calon malah sehingga kini masih tidak berupaya membentuk cawangan di kawasan-kawasan tertentu.

Malah beliau juga percaya, Pakatan Harapan khususnya DAP dan PKR tidak akan memberi kerusi mereka kepada parti kecil seperti AMANAH dalam pilihan raya akan datang.

“Kita yakin Pakatan Harapan tidak akan beri kerusi pada PAN. Dia (PAN) hendak bertanding kerusi siapa, dan tidak mustahil bakal berlaku perebutan kerusi sesama sendiri selepas ini.

“Jadi PAN perlu sedar dan melupakan niat untuk menggantikan Pas mentadbir Kelantan. PAN hanya menjadi pekakas DAP, ikut apa DAP buat, hendak ganti Pas bagaimana?,” katanya ketika menyampaikan ceramah berkaitan isu-isu semasa di Kampung Hujung Tanjung Kota Bharu malam tadi seperti dilapor Agendadaily hari ini.

Sementara itu, Mohd. Amar turut membidas Naib Presiden AMANAH, Datuk Husam Musa berikutan tindakan beliau yang berterusan menyerang parti itu khususnya berkaitan isu Wisma Tok Guru dan Pasar Besar Pasir Puteh.

Katanya yang juga Timbalan Menteri Besar, serangan demi serangan oleh Husam itu dilihat sebagai langkah terdesak untuk meneruskan kesinambungan politiknya yang semakin suram.

“Pas yakin habis PRU-14 ini, kita boleh tengok karier politiknya (Husam) juga bakal berakhir. Apabila sudah terdesak, dia sanggup buat apa sahaja,” ujarnya.

9.0
OVERALL SCORE
: 9.0
Have no any user vote
CATEGORIES
TAGS