Malaysia Dateline

Mohd Amar nafi pembalakan haram punca harimau masuk kampung Orang Asli

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah menafikan dakwaan bahawa pembalakan haram punca yang menyebabkan harimau masuk ke perkampungan Orang Asli di Gua Musang.

Pemimpin Pas berkenaan berkata, tanggapan tersebut tidak betul.

“Harimau masuk kampung bukan kerana penebangan hutan. Kita ada baca kenyataan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan yang menyebut harimau masuk kampung sebab harimau kena penyakit.

“Keadaan ini menyebabkan harimau merayau dalam kampung kerana tidak boleh mencari makanan seperti biasa. Kalau kita hendak salahkan penebangan balak, itu tidak betul.

“Banjir sikit pun nak salahkan penebangan balak. Benda itu bukan begitu,” lapor BH hari ini.

Sejak Disember tahun lalu, kira-kira 305 keluarga Orang Asli di Pos Bihai diancam berada dalam ketakutan susulan ancaman harimau.

Pada 7 Januari lalu, lelaki Orang Asli maut dibaham harimau di Kampung Sau dekat Pos Bihai.

Baru-baru ini ketakutan yang sama turut dirasai penduduk di Pos Ber apabila harimau belang juga dipercayai muncul di kawasan penempatan itu.

Dilaporkan tiga ekor harimau didapati berkeliaran di perkampungan orang asli di Pos Bihai iaitu di Kampung Remau, Kampung Bujuk, Kampung Bayor, Kampung Tendrik, Kampung Salak, Kampung Badak, Kampung Saudan dan Kampung Pahong.

LANJUT MENYUSUL