Mohd Amar ucap terima kasih Pulau Pinang sumbang bantuan RM100,000

Oleh MALAYSIADATELINE

Nik Mohd Amar Abdullah

Kerajaan negeri Kelantan mengucapkan terima kasih kepada Pulau Pinang kerana mengumumkan peruntukan sebanyak RM100,000 bagi membantu rakyat negeri itu yang terjejas banjir, kata timbalan menteri besar, Datuk Mohd Amar Abdullah.

“Saya bagi pihak kerajaan negeri mengucapkan terima kasih kerana membantu kita,” ujarnya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Integriti di Dewan Teratai Kota Darulnaim, Kota Bharu, semalam.

Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng mengumumkan peruntukan RM100,000 itu dengan RM50,000 disumbangkan kepada kerajaan negeri manakala RM50,000 lagi kepada badan bukan kerajaan (NGO) Kelantan yang menjalankan usaha bantuan banjir.

“Kita semua berdoa agar cuaca tidak akan menjadi lebih buruk dan sebagai negeri yang pernah dilanda bencana baru-baru ini, saya berharap rakyat Kelantan dapat bersabar.

“Sebagai tanda simpati, kita akan menghulurkan bantuan sebanyak RM100,000 kepada kerajaan negeri dan NGO berwajib di Kelantan,” kata Guan Eng.

Jumlah mangsa banjir di Kelantan terus meningkat kepada 12,734 orang setakat 9 malam tadi berbanding 11,341 pada 5 petang.

Kesemua mangsa ditempatkan di 101 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di sembilan jajahan membabitkan Kota Bharu, Pasir Mas, Tumpat, Bachok, Tanah Merah, Pasir Puteh, Kuala Krai, Machang dan Jeli.