Mohd Azroy Hazalwafie, Koi Sie Yan Olahragawan. Olahragawati Pahang 2017/2018

Mohd Azroy Hazalwafie, Koi Sie Yan Olahragawan. Olahragawati Pahang 2017/2018

Atlet angkat berat, Mohd Azroy Hazalwafie Izhar Ahmad dan ratu gimrama negara, Koi Sie Yan dinobatkan Olahragawan dan Olahragawati Pahang 2017/2018 pada Majlis Anugerah Sukan Pahang di sini, hari ini.

Mereka masing-masing membawa pulang wang tunai RM5,000, piala pusingan, piala iringan serta sijil yang disampaikan Pengerusi Jumaah Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah pada majlis di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di sini.

Pengerusi Panel Pemilihan Anugerah Sukan Pahang, Datuk Seri Omar Othman berkata, pemilihan kedua-dua atlet tersebut adalah ekoran kejayaan mereka menghadiahkan pingat dalam pelbagai kejohanan antarabangsa.

Sebagai contoh, Mohd Azroy Hazalwafie, 25, yang merupakan anak kelahiran Rompin, menceriakan kem kontinjen negara pada Sukan Komanwel 2018 di Gold Cost, Australia apabila menghadiahkan pingat emas pertama negara menerusi acara 56 kilogram (kg).

Kejayaan itu membolehkan beliau memecah rekod kebangsaan acara snatch kategori 56kg dengan angkatan seberat 117kg, memadamkan rekod yang dipegang Amirul Hamizan Ibrahim yang berjaya mengangkat 115kg dalam acara sama di Sukan Komanwel di Manchester, England pada 2002.

Mohd Azroy Hazalwafie semasa ditemui menyifatkan anugerah itu sebagai pembakar semangat untuk terus mengharumkan nama Pahang dan Malaysia dalam sukan tersebut.

Dalam pada itu, Koi, anak anak jati Kuantan berjaya menyumbang tiga pingat perak dan satu gangsa pada Sukan Komanwel 2018 selain turut membawa pulang empat pingat emas dan dua perak pada Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur.

“Ini merupakan satu peningkatan buat diri saya kerana sebelum ini saya adalah Olahragawati Harapan dan sudah pasti ini bukan hanya penghargaan tetapi juga peringatan kepada saya untuk terus giat berlatih… ini adalah ganjaran kepada usaha keras bukan hanya buat saya, tetapi juga kepada jurulatih dan mereka yang terlibat, khususnya kepada keluarga yang memberikan galakan,” kata Koi.

Pada majlis itu, Tengku Abdul Rahman, yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Pahang (PBNP), menerima Anugerah Tokoh Sukan Pahang 2017/2018 sebagai menghargai sumbangan baginda kepada pembangunan sukan bola sepak di Pahang.

Atlet pencak silat Muhammad Hazim Amzad dan olahraga Nani Shahirah Maryata masing-masing menerima Anugerah Olahragawan dan Olahragawati Harapan manakala pesilat senior negara, Mohd Al Jufferi Jamari dipilih sebagai Atlet Elit Pahang.

Atlet Paralimpik Lelaki dan Perempuan Terbaik pula menjadi milik Ahmad Jaffri Jamaluddin yang merupakan atlet memanah dan atlet tenpin bowling negara Ruzila Mustafa manakala jurulatih sukan menembak Pahang, Elena Sotnik yang berasal dari Rusia dinobatkan sebagai Jurulatih Terbaik.

Pasukan Pistol Lelaki dan Wanita pula masing-masing menerima Anugerah Pasukan Terbaik bagi kategori Lelaki dan Wanita manakala Anugerah Persatuan Sukan Terbaik menjadi milik PBNP.

Anugerah Kepimpinan Sukan dianugerahkan kepada Tengku Besar Pahang, Tengku Kamil Ismail Tengku Idris Shah dalam sukan badminton manakala wartawan Berita Harian Asrol Awang pula menerima Anugerah Khas Media.

Majlis anugerah tersebut turut dfihadiri Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Pahang, Datuk Seri Mohd Johari Hussain dan Pengarah Majlis Sukan Pahang (MSP), Mohamed Rashdan Mohamed Razali.– BERNAMA