Malaysia Dateline

Mohd Ezam batal permohonan tubuh Parti Negara

Datuk Mohamad Ezam Mohd Nor membubarkan Sekretariat penaja Parti Negara berikutan keputusan yang diambilnya untuk menggugurkan permohonan itu dari Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS).

Bekas Presiden sekretariat itu berkata, beliau menggugurkan permohonan berkenaan atas sebab-sebab tertentu yang bersandarkan kepada situasi politik semasa.

Katanya, beliau juga akur dan menerima nasihat dari rakan parti politik memintanya untuk tidak menubuhkan parti baharu yang asalnya dinamakan Parti Negara.

Dengan persetujuan kepimpinan sekretariat itu ujarnya, beliau telah menggugurkan permohonan berkenaan kira-kira enam bulan lalu dan kini akan menumpukan sepenuhnya kepada NGO Gegar.

“Kita tarik balik permohonan itu sebelum ROS memulakan kerja penelitian dan semakan.

“Sekarang kita sedang rangka dan memikirkan untuk melakukan langkah lain bersama parti sedia ada dan NGO lain yang pro reformasi untuk bersama mendesak kerajaan hari ini melakukan reformasi yang bermakna.

“Setakat ini rata-rata tidak puas hati, bukan setakat kita, mereka yang benar-benar pro reformasi pun tak puas hati dengan kerajaan Pakatan Harapan (PH),” katanya sambal menyifatkan kerajaan sekarang lembab dari segi tindakan membanteras penyelewengan.

Pada 17 Mei lalu, Mohamad Ezam yang mewujudkan Sekretariat penaja Parti Negara nekad untuk menubuhkan parti baharu itu bagi membanteras masalah rasuah yang menjadi musuh utama negara.

Beliau mengemukakan permohonan penubuhan parti Negara itu kepada ROS di Putrajaya untuk didaftarkan sebagai parti politik rasmi.

Katanya, parti Negara sebuah organisasi politik berbilang kaum, yang mana keahliannya terbuka kepada setiap warganegara berumur 18 tahun ke atas