Malaysia Dateline

Mohd Khairuddin beri keterangan malam ini

Menteri Pas, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali diambil keterangan jam 8 malam tadi berhubung siasatan melanggar arahan kuarantin wajib selepas beliau pulang dari Turki pada 7 Julai lalu.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi itu dipercayai masuk ke Bukit Aman dan berjaya mengelak daripada sekumpulan wartawan dan jurugambar yang menunggunya sejak jam 4 petang tadi.

Terdahulu, Timbalan Pengarah (Siasatan dan Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Deputi Komisioner Mior Faridalathrash Wahid dilapor mengesahkan keterangan Khairuddin sedang diambil.

Khairuddin yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus sebelum ini dikompaun oleh Kementerian Kesihatan sebanyak RM1,000 atas kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP) kuarantin wajib di rumah selepas pulang dari luar negara.