Mohd Rafiq nafi mahu jawatan ketua Bersatu Melaka

Mohd Rafiq nafi mahu jawatan ketua Bersatu Melaka

Timbalan Ketua Badan Pimpinan Bersatu Melaka, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen hari ini menafikan dakwaan kononnya beliau mahukan jawatan Ketua Badan Pimpinan Bersatu yang kini disandang Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof.

“Oh, tak betul. Terima kasih. Tak apa kita akan selesaikan secara dalaman,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penyampaian Bantuan Awal Persekolahan di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Pay Hwa, Paya Rumput hari ini.

Semalam sebuah portal berita melaporkan bahawa Mohd Redzuan mendapat tekanan yang memuncak apabila ada sumber yang mendakwa Pengerusi Bersatu Melaka itu telah mendapat undi tidak percaya melalui mesyuarat yang diadakan Jumaat lepas.

Portal itu turut melaporkan pihak yang tidak berpuas hati di dalam Bersatu Melaka sedang mendesak Mohd Rafiq menjadi ketua baharunya menggantikan Mohd Redzuan, yang juga Menteri Pembangunan Usahawan.

Mohd Rafiq yang juga Exco Perindustrian, Perdagangan dan Pelaburan Melaka berkata Badan Pimpinan Bersatu Melaka komited untuk menyelesaikan segala masalah yang timbul dalam parti itu secara dalaman.

Beliau berkata segala isu termasuk dakwaan mengenai hilang kepercayaan terhadap Ketua Badan Pimpinan Bersatu Melaka akan diselesaikan secara tertutup.

“Saya berpendapat bahawa isu politik atau dalam Bersatu perlu diselesaikan secara dalaman dan kita tidak akan menggunakan saluran media untuk menyelesaikan sebarang masalah yang berlaku dalam Bersatu. Jadi biarlah segala isu itu diselesaikan secara tertutup. Itu sahaja komen saya,” katanya.

Ketika ditanya mengenai sejauh mana kebenaran laporan portal berita itu, Mohd Rafiq yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Paya Rumput hanya menjawab, “Saya tak nak komen. Minta maaf.— BERNAMA