Mohd Rashid gesa penganjur jawab kekeliruan atau tindakan undang-undang akan diambil

Mohd Rashid gesa penganjur jawab kekeliruan atau tindakan undang-undang akan diambil

Datuk Mohd Rashid Hasnon mengesa pihak penganjur membetulkan salah faham dan membersihkan namanya dari sebarang kekeliruan umum susulan penafian Pejabat Timbalan Perdana Menteri hari ini berkaitan teks ucapan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Timbalan Speaker Dewan Rakyat itu berkata, jika pihak penganjur tidak mengeluarkan sebarang penjelasan dan penafian, pihaknya tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang.

“Untuk makluman, saya telah dijemput untuk hadir ke majlis pelancaran Jalur Berkelajuan Tinggi Gerbang Internet Antarabangsa Malaysia Yang Dipertingkat (EM-IIG) yang dibangunkan Xiddig Cellular Communications Sdn Bhd hari ini, atas kapasiti saya sebagai mantan Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang.

“Saya telah hadir awal ke majlis ini untuk mendengar ucapan Timbalan Perdana Menteri.

“Saya tidak dijadualkan untuk memberi sebarang ucapan apatah lagi untuk merasmikan majlis tersebut.

“Setelah majlis bermula saya dimaklumkan oleh pihak penganjur bahawa YAB Timbalan Perdana Menteri tidak dapat hadir atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan dan saya diminta untuk menyampaikan ucapan di majlis tersebut,” ujarnya dalam kenyataan malam ini.

Katanya lagi, beliau telah diberikan teks ucapan oleh penganjur sebagai panduan dalam ucapannya.

“Saya menafikan sekeras-kerasnya bahawa saya mewakili Timbalan Perdana Menteri ke majlis ini.

“Sebarang kenyataan yang menyatakan saya mewakili Timbalan Perdana Menteri adalah bertujuan untuk mengelirukan

Hari ini Pejabat Timbalan Perdana Menteri dalam kenyataan menegaskan, laporan berita yang memetik ucapan daripada Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkaitan projek jalur lebar berkelajuan tinggi Gerbang Internet Antarabangsa Malaysia Yang Dipertingkat (EM-IIG) yang dibangunkan Xiddig Cellular Communications Sdn Bhd adalah tidak benar.

Pejabat Timbalan Perdana Menteri memaklumkan, teks ucapan yang dibaca oleh Mohd Rashid pada pelancaran projek itu di Subang hari ini tidak pernah diluluskan Timbalan Perdana Menteri atau pun pejabatnya.

Katanya, Timbalan Perdana Menteri juga tidak mewakilkan sesiapa untuk membaca teks ucapan beliau pada majlis berkenaan.

Pada majlis pra-pelancaran projek EM-IIG di Subang hari ini, ucapan yang dikatakan oleh Dr Wan Azizah yang dibacakan Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon menyatakan Malaysia bakal memiliki platform infrastruktur generasi kelima (5G) pertama di Asia Tenggara, yang menawarkan perkhidmatan internet berkelajuan tinggi paling murah dan terpantas menerusi projek jalur lebar berkelajuan tinggi EM-IIG.

Projek yang membabitkan pemasangan kabel dasar laut dan daratan bernilai RM5.45 bilion di Malaysia menggunakan kabel gentian optik berkapasiti 150 terabait (TB) itu dikendalikan oleh Xiddig Cellular Communications dan mengambil masa lima tahun untuk disiapkan.