Mohd Razlan dicabar lapor polis terhadap syarikat dakwa ada kaitan BN

Mohd Razlan dicabar lapor polis terhadap syarikat dakwa ada kaitan BN

Ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan, Mohd Razlan Muhammad Rafii dicabar membuat laporan polis segera terhadap syarikat yang mendakwa terlibat dengan Barisan Nasional (BN) Wilayah Persekutuan untuk memasang pelekat BN pada kenderaan dan memberikan RM300 kepada pemiliknya.

Cabaran tersebut dibuat oleh Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng dalam kenyataan medianya hari ini.

Kata Lip Eng, siapakah yang sanggup menjadi begitu pemurah membiayai kempan BN dengan membayar RM300 kepada pemilik kenderaan yang bersedia kenderaannya ditampal pelekat BN melainkan mereka yang punya kepentingan?

Ujar beliau, sekiranya Mohd Razlan tidak berani, beliau (Lip Eng) sanggup menemankannya menyerbu kaunter syarikat berkenaan di depan kamera supaya beliau boleh membersihkan nama Pemuda Umno WP.

Namun katanya lagi, sekiranya Mohd Razlan gagal berbuat demikian, sebarang kenyataannya tidak lagi akan dipercayai orang.

“Polis juga boleh dijemput sama bagi memastikan mereka juga boleh membuat siasatan dan mendakwa pihak terbabit kerana mencemarkan nama baik BN WP.

“Jika Razlan gagal berbuat seperti yang saya cadangkan, ketua BN WP Tengku Adnan Mansor perlu juga berbuat sesuatu untuk membersihkan nama sayap pemuda dan BN daripada dicemari pihak terbabit,” kata peguam DAP itu.

Menurut Lip Eng lagi, terdapat banyak alasan untuk polis segera menyiasat sumber dana tersebut kerana orang ramai akan dengan mudah membuat spekulasi bahawa ia datang daripada 1MDB atau Jho Low.

Jika wang berkenaan datang daripada BN, umum perlu tahu berapa banyakkah BN berbelanja dalam pilihan raya ini, tambahnya.

“Razlan tidak boleh hanya membuat penafian terbuka tanpa menghentikan pihak terbabit menyalahgunakan nama BN.

“Sementara itu, saya menggesa orang ramai untuk turut membuat laporan polis terhadap sesiapa sahaja yang menawarkan wang untuk menampal logo parti pada kenderaan mereka,” katanya.

0.0
OVERALL SCORE
Have no any user vote
CATEGORIES