Malaysia Dateline

Mohd Redzuan dilantik Pengerusi Boustead Holdings

Bekas menteri, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof telah dilantik sebagai pengerusi bebas bukan eksekutif di Boustead Holdings Bhd.

Syarikat itu memaklumkan, pelantikan Mohd Redzuan bagi mempercepatkan agenda Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) untuk syarikat Boustead bagi tahun 2022.

Lapor Bernama, Pengarah Urusan Kumpulan Boustead Mohammed Shazalli Ramly berkata, kumpulan itu percaya dengan pengalaman luas Mohd Redzuan dalam bidang korporat dan awam yang akan mempertingkatkan prestasi Boustead.

“Kami berharap di bawah kepimpinan Mohd Redzuan, beliau akan memenuhi matlamat strategik kami selaras dengan strategi Reinventing Boustead untuk mempercepatkan prestasi keseluruhan untuk meningkatkan dan memaksimumkan nilai pemegang saham erta melindungi kepentingan pemegang saham kami terutamanya Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) sebagai pemegang saham majoriti kami,” katanya memetik Bernama.

Dalam satu kenyataan, cabang pelaburan LTAT itu berkata Mohd Redzuan, 64, telah berkhidmat sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi dari 2018 hingga 2020, seterusnya Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) dari 2020 hingga 2021.

Menurut syarikat itu, Mohd Redzuan memiliki Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepujian) dalam Kejuruteraan Awam dari University of Leeds, United Kingdom dan memulakan kerjaya cemerlangnya sebagai jurutera dengan ESSO Malaysia Sdn Bhd, seterusnya berkhidmat di Petronas Carigali Sdn Bhd.

Mohd Redzuan meneruskan kerjayanya dalam sektor korporat dengan memegang pelbagai jawatan penting termasuk pengarah eksekutif (ED) Swiber Marine (M) Sdn Bhd serta Wakil Negara untuk Swiber Holdings Ltd, Singapura; ketua pegawai eksekutif (CEO) Module Tech Sdn Bhd, ED Kumpulan Syarikat Gagnar dan ED Kumpulan Syarikat Orbtech.