Malaysia Dateline

Mohd Shafie akan isytihar aset kepada SPRM

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal akan mengisytiharkan keseluruhan asetnya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekali lagi walaupun pernah berbuat demikian ketika ditahan oleh agensi berkenaan.

Menurut Mohd Shafie, beliau akan tetap mengisytiharkan aset beliau seperti yang ditetapkan oleh parlimen.

“Saya telah menyatakan (aset) saya kepada SPRM kali terakhir semasa saya ditahan. Saya akan melakukannya sekali lagi untuk keperluan Parlimen.

“SPRM menyiasat saya, berapa banyak pelaburan yang saya ada, tetapi saya akan tetap melakukannya, tidak ada untuk disembunyikan,” katanya seperti dipetik Astroawani.

Terdahulu, Mohd Shafie merupakan antara pemimpin Sabah yang belum mengisytiharkan aset kepada SPRM termasuk Timbalan Ketua Menteri yang juga Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau dan Ahli Parlimen Labuan, Datuk Rozman Isli.

Mohd Shafie yang juga Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) telah ditahan SPRM pada tahun 2017 berhubung dakwaan penyelewengan dana pembangunan infrastruktur luar bandar melibatkan RM1.5 bilion dan dibebaskan dengan jaminan selepas ditahan selama lapan hari.