Mohd Zawawi buat dua laporan polis dakwaan difitnah

Mohd Zawawi buat dua laporan  polis dakwaan difitnah

Calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Sungai Kandis daripada PKR, Mohd Zawawi Ahmad Mughni hari ini membuat dua laporan polis selepas mengesan wujudnya penyebaran fitnah terhadap beliau menerusi media sosial sejak semalam.

Mohd Zawawi yang diiringi peguamnya, Mohd Khairul Anwar Ismail membuat laporan polis berkenaan di Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan di sini, bagi mendesak pihak berkuasa itu menyiasat pemilik akaun Facebook atas nama ‘Unit Media Wangsa Maju’ dan pemilik akaun Twitter ‘@MHSBI1’ yang didakwa menyebar fitnah tersebut.

Menurut beliau, pihaknya terpaksa mengambil tindakan sedemikian kerana fitnah yang tersebar melalui media sosial itu tiada asasnya dan sengaja diwujudkan pihak tidak bertanggungjawab bagi menjatuhkan reputasinya yang sedang melakukan jelajah kempen PRK.

“Laporan polis pertama adalah tentang dakwaan mengatakan saya bersetuju dan menyokong (persembahan) tarian gelek untuk mengutip derma Tabung Harapan Malaysia baru-baru ini dan laporan kedua berkaitan dakwaan menuduh saya menyalahgunakan wang semasa berkhidmat di sebuah sekolah di Sungai Bertih, Klang pada tahun 1998.

“Saya amat terkejut dengan dakwaan seperti ini kerana saya tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan tentang tarian gelek itu malah saya tidak tahu sumber mana pula pihak tersebut ambil sehingga boleh kata saya menyalahgunakan wang di sekolah sedangkan saya telah meninggalkan sekolah itu 20 tahun lepas,” katanya seperti dilapor Bernama.

Pada PRK Sungai Kandis  calon PKR Mohd Zawawi Ahmad Mughni akan berhadapan dengan calon BN Datuk Lokman Noor Adam dan calon Bebas  K.Murty pada 4 Ogos ini.

 

9.5
OVERALL SCORE
: 8.0
3 user votes x 10.0