Mohd Zawawi yakin pengundi Dun Sungai Kandis akan memihak kepada calon PKR

Mohd Zawawi yakin pengundi  Dun Sungai Kandis akan memihak kepada calon PKR

Calon PKR Mohd Zawawi Ahmad Mughni yakin pengundi di N49 Sungai Kandis akan memberi undi kepadanya berbanding calon BN Datuk Lokman Noor Adam pada Pilihan Raya Kecil (PRK) yang akan diadakan pada 4 Ogos depan.

Pengetua Maahad Tahfiz Al Fateh itu berkata, jentera pilihan raya Pakatan Harapan akan bekerja bersama untuk memastikan kemenangan akan memihak kepada calon PKR.

Dalam kempennya beliau akan memberikan tumpuan kepada pendidikan, pelaksanaan dan penguatkuasaan berkaitan alam sekitar.

“Sudah menjadi hasrat saya untuk menjadikan Dun Sg Kandis ini sebagai sebuah Dun terbaik di negeri Selangor.

“Isu alam sekitar sangat meruncing di Sungai Kandis ini dan saya akan mencadangkan kepada kerajaan negeri agar membuat satu Pelan Khusus menyelamatkan alam sekitar.

“Ini kerana sudah menjadi tanggungjawab untuk semua orang memelihara alam sekitar dan ia dijelaskan dalam Al Quran,” jelasnya,” jelasnya dalam sidang media hari ketiga kempennya yang diadakan di kawasan Bukit Naga hari ini.

Katanya, beberapa kawasan telah dikenalpasti dan tinjauan telah dan sedang dilakukan terutama melibatkan sampah haram.

Menjawab pertanyaan berhubung isu Rang Undang-Undang (RUU) Mahkamah Syariah 355 yang diangkat Pas, Mohd Zawawi berkata PKR bersetuju tetapi bukan untuk dilaksanakan serta merta.

Jelas isu asas perlu ditangani terlebih dahulu sebelum penguatkuasaan undang-undang.

“Isu asas masyarakat perlu ditangani terlebih dahulu seperti isu kos sara hidup dan sebagainya. Kita mahu melakukan pendekatan wasatiyah dan mensejahterakan rakyat terlebih dahulu baru kita bincang perkara tersebut,” katanya lagi.