Mohon kelulusan Mindef bawa pulang barangan anggota tentera yang hilang

Mohon kelulusan Mindef bawa pulang barangan anggota tentera yang hilang
Datuk Seri Fatimah Abdullah
Kerajaan negeri Sarawak memohon kelulusan Kementerian Pertahanan (MINDEF)  untuk membenarkan ahli keluarga dua anggota tentera dari Sarawak, yang hilang dalam operasi di Pulau Perak, Kedah,  mengambil barangan mangsa untuk dibawa pulang.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Sarawak, Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, beliau berharap Mindef akan memberi perhatian kepada permintaan keluarga Koperal David Edmund Rapi dan Lans Koperal Moses Logers.

David, 39, berasal dari Dalat dan Moses, 25, dari Bau, dari Batalion Keempat Rejimen Renjer Diraja (RRD), yang berpangkalan di Kem Bukit Cowder, Perlis telah dilaporkan hilang ketika mengikuti operasi di Pulau Perak, sejak 20 Julai lalu.

Pulau Perak terletak kira-kira 60 batu nautika barat daya Langkawi dan 70 batu nautika barat laut Pulau Pinang.

“Hal ini masih lagi dalam proses perbincangan dan selagi tidak mendapat kelulusan pihak Mindef, kita tidak boleh membenarkan keluarga mangsa pergi  ke kem tempat mangsa bertugas untuk mengambil barangan mangsa,” kata Fatimah ketika ditemui oleh pemberita pada majlis pengagihan daging sempena Hari Raya Aidiladha di Surau Darul Muallimin, Taman Desa Guru, pada Ahad.

Beliau berkata kerajaan negeri juga akan membantu menanggung kos penerbangan dari Kuching ke Langkawi termasuk keperluan logistik untuk keluarga mangsa sekiranya proses pemohonan tersebut telah diluluskan.

Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) bagi mengesan dua anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) itu ditamatkan Selasa lalu selepas tiada sebarang petunjuk dan tiada penemuan sebarang jasad selepas 72 jam operasi dilaksanakan.

Pada majlis itu, sebanyak 16 ekor lembu dikorbankan sumbangan jawatankuasa surau tersebut untuk diagihkan kepada 234 penerima dari lima buah rumah kebajikan iaitu dari Rumah Kanak-kanak Norkiah, Rumah Amal Nur Murni, Anak-anak Baiturrahman, Pusat Jagaan Laman Kaseh dan Rumah Sri Kenangan.

— BERNAMA