Malaysia Dateline

“Mohon Tuanku tubuh RCI secepat mungkin, tolong kami Tuanku”

Timbalan Presiden AMANAH Salahuddin Ayub memohon perkenanan Yang diPertuan Agong untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) secepat mungkin berikutan ‘perang terbuka’ antara Ketua Polis Negara dan Menteri Dalam Negeri.

Menurut Salahuddin perang terbuka dua individu ini belum pernah berlaku sedemikian dahsyat dalam sejarah sejak merdeka.

“Mohon perkenaan Tuanku tubuh RCI secepat mungkin. Ini soal keselamatan negara Tuanku. Tolong kami Tuanku,” ciap beliau.

Perang terbuka yang berlaku ini kata beliau, sepatutnya kerajaan melalui kabinet mengambil tindakan yang serius kerana ia merupakan isu keselamatan.

“Ini amat malang bagi rakyat dan negara. Adakah kabinet juga diserang COVID-19?” soal beliau.

Semalam, dalam sidang media terakhir sebelum bersara Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador mendedahkan wujudnya campur tangan politik dalam PDRM.

Sekaligus menyifatkan Hamzah Zainuddin menyalahgunakan kedudukannya untuk campur tangan dalam urusan polis di dalam pasukan PDRM.

Ini apabila, Hamzah mengakui audio yang tular berhubung pertukaran dan pelantikan anggota PDRM adalah suaranya.