Malaysia Dateline

Mokhtar bermunajat, Alexander berdoa malam ini

Ketika ulama Pas, Mokhtar Senik memberitahu akan bermunajat kepada Allah malam ini, pembongkar skandal, Alexander Pitsuwan Thomprason juga berdoa.

Bezanya dilihat Mokhtar berdoa agar Allah memisahkan roh pengguna Facebook, Farish Farish daripada jasad manakala Alexander berdoa memohon perlindungan buat dirinya.

“Tuhan sentiasa bersama orang yang sayang pada agamanya. Wahai pemilik langit dan bumi, lindungilah aku.

“Kurniakanlah aku kekuatan untuk melawan para pendusta agamamu yang suci,” rayu Alexander dalam hantaran yang dimuatnaik di Facebook kira-kira jam 8 malam tadi.

Beliau yang sebelum ini menyamar sebagai wanita cantik bernama Leena juga dalam masa sama menyelar golongan pendusta agama.

“Sesungguhnya pendusta-pendusta itu sedang mempergunakan agamamu demi habuan dunia yang sedikit untuk memenuhi nafsu mereka. Amin,” ujarnya.

Terdahulu, Mokhtar yang juga pemilik Pondok Annur di Kampung Kuala Penor, Kuantan memohon semua individu yang mengenalinya mengaminkan doa memisahkan roh dari jasad itu sebagai pengajaran kepada orang lain.

Walau bagaimanapun, sebahagian warganet menyifatkan doa Ahli Jawatankuasa Pas Pusat itu sebagai keterlaluan.

Bahkan ada yang menyebut Nabi Muhammad SAW sendiri tidak mendoakan Abu Jahal dan Abu Lahab mati cepat.

Tidak kurang juga berpendapat apa yang diucapkan Mokhtar bukanlah doa yang dianjurkan golongan ulama sebenar.

“Itu bukan doa yang diajar oleh para ulama. Macam jampi bomoh santau saja,” kata pengguna Facebook, Razali Li.