Malaysia Dateline

Mokhtar ingatkan tiada harga ulama tanpa akhlak

Ulama Pas, Mokhtar Senik berkata, seorang ulama akan dipandang seperti tiada harga sekiranya tidak berakhlak.

Ahli Jawatankuasa Kerja Dewan Ulama Pas Pusat itu berkata, kehebatan ulama terletak pada akhlak dan jika berakhlak buruk maka hilanglah kehebatan ilmu.

Malah kata Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat itu, ulama tanpa akhlak ibarat permata di sebuah pulau terpencil dengan tiada siapa pun yang akan menghiraukannya, bahkan malaikat juga tidak mendekatinya.

“Sebab itu kata ulama, ‘kamu boleh mencari ilmu dari ramai ulama tapi sukar untuk kamu mencari ilmunya akhlak’.

“Percayalah, tanpa akhlak seorang ulama itu dipandang tiada harga. Ia akan hilang teman di kalangan ulama dan akan jauh dari orang awam,” kata bekas Ketua Dewan Ulama Pas Pahang tersebut.

Sehubungan itu, Mokhtar yang juga pemilik Pondok Annur di Kampung Kuala Penor, Kuantan mengingatkan tentang hasad dengki dalam kalangan golongan berilmu.

“Awaslah. Penyakit orang berilmu ialah hasad dan iri hati sesama mereka serta gemar memandang rendah kepada orang yang bukan di kalangan mereka,” serunya dalam satu hantaran di Facebook miliknya, Mokhtar Dup hari ini.

Mokhtar turut mengingatkan para asatizah untuk bertawaduk sesama ulama dan orang awam selain menasihatkan agar kurang bercakap ketika bersama ulama sebaliknya banyakkan mendengar.