Malaysia Dateline

Mokhtar jawab tuduhan isu penangguhan agenda pemilihan Dewan Ulama Pas Pusat

Ahli Jawatankuasa Dewan Ulama Pas, Mokhtar Senik menegaskan dakwaan kononnya penangguhan agenda pemilihan dalam muktamar sayap parti itu disebabkan beberapa nama pimpinan tidak tercalon sebagai tuduhan jahat.

Mokhtar yang juga Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat itu berkata, Dewan Ulama Pas Pusat tidak tahu siapa dalam kalangan mereka dicalonkan atau tidak kerana senarai pencalonan ada dalam simpanan jawatankuasa pemilihan.

“Kalau diketahui bermakna jawatankuasa pemilihan telah membocorkannya. Siapa yang membocorkan itu?

“Dan saya percaya jawatankuasa pemilihan tidak khianat dengan amanah yang disandangkan kepada mereka,” katanya hari ini.

Menurutnya lagi, penangguhan agenda pemilihan tersebut adalah arahan Setiausaha Agung dan Majlis Syura Ulamak (MSU).

Oleh sebab itu, jelasnya, DUPP hanya mematuhi arahan itu agar selari dengan perlembagaan dan peraturan pemilihan.

“Keputusan itu tidak menidakkan negeri-negeri yang telah menghantar nama calon-calon kerana nama itu boleh dikekalkan terus sehingga muktamar diarahkan oleh Pas Pusat.

“Penangguhan cuma memberi ruang kepada MSU dan Pas Pusat meneliti peraturan pemilihan dan memberi ruang kepada negeri-negeri yang belum mesyuarat agung peringkat negeri menghantar calon-calon mereka.

“Dan ianya dilihat oleh MSU dan Pas Pusat sebagai prosedur teknikal yang berkait dengan undang-undang,” katanya.

Sehubungan itu, Mokhtar menyeru agar mandat diberi kepada MSU dan Pas Pusat untuk membuat keputusan memandangkan isu tersebut tiada kaitan dengan DUPP.

“Berhati-hatilah kerana terlalu banyak persepsi jahat dilontarkan sehingga berlaku buruk sangka terhadap DUPP,” tambahnya lagi.