Malaysia Dateline

Mokhtar nasihat jangan ghairah sangat, kaki ke lain tapi mata ke arah lain

Ahli Jawatankuasa Kerja Dewan Ulamak Pas Pusat, Mokhtar Senik menasihatkan ahli partinya agar berjuang dengan bersungguh-sungguh dan ikhlas bukannya kerana jawatan dan pangkat.

Menurut Ahli Jawatankuasa Pas Pusat itu, sekiranya Allah tidak hendak memberi pasti tidak akan dapat walau sudah berada di hadapan mata.

“Kalau mahu tenang dalam perjuangan jangan berjalan secara zig zag. Kaki ke lain tapi mata ke arah lain. Fokus tanggungjawab kita bukan fikirkan urusan Allah.

“Kita baru berada di permulaan kemenangan. Lalu jangan leka sangat. Jangan ghairah sangat. Jangan mula menyiku kawan dan merangkul lawan,” ujar pemilik Pondok Annur di Kampung Kuala Penor, Kuantan itu dipetik dari catatannya di Facebook.

Mokhtar yang pernah berada dalam tahanan selama tiga tahun setengah itu juga mengingatkan ahli Pas agar tidak mengubah apa-apa yang pernah dipelajari dari tarbiyah parti.

“Jangan berubah sikap apatah lagi niat dan qasad. Ingat Allah sedang melihat. Apa pun yang kita rasai dalam jemaah ini jangan sampai kita tinggalkan perjuangan,” jelasnya dalam catatan dari Indonesia kelmarin.