Malaysia Dateline

Mokhtar Senik perjelas mengapa ulama pondok tidak pandai cari harta, tidak jawab segala tuduhan

Ulama Pas, Mokhtar Senik hari ini tampil menyenaraikan 10 sifat guru-guru ulama pondok yang dilihatnya.

Antaranya, pemilik Pondok Annur di Kampung Kuala Penor, Kuantan itu menjelaskan tentang mengapa ulama pondok tidak tahu mencari harta dan tidak menjawab segala tuduhan yang dilemparkan.

“Mereka bukan tak pandai cari harta. Tapi cinta mereka kepada ilmu menjadikan mereka tidak punya masa dan waktu untuk kumpul dunia.

“Mereka bukan tidak mampu menjawab segala tuduhan orang kepadanya. Tapi mereka lebih melihat kepada hikmahnya dan mempercayakan diri mereka kepada Allah dan sangat yakin dengan pembelaan Allah terhadapnya. Mereka tidak mahu menyibukkan diri dengannya sehingga menganggu urusan dengan Allah,” hurainya panjang lebar.

Dua minggu lalu, gambar kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Vellfire berserta nombor plat didakwa milik Mokhtar tular di media sosial.

Mokhtar juga pada 2015 pernah menarik perhatian orang ramai apabila memuat naik gambar dua kereta mewah miliknya yang digelar sebagai “kuda-kuda hitam”.

Lanjut tentang sifat ulama-ulama pondok yang dilihatnya, Mokhtar menyifatkan mereka bukan “tidak pandai bincang peluang-peluang perniagaan” tetapi hati mereka tidak berminat membicarakan hal selain ilmu.

“Mereka berbahagia dengan harta yang mereka ada walaupun orang ramai melihatnya sebagai kemiskinan.

“Memadai bagi mereka berbaju Melayu,berkain pelikat dan serban di kepala. Bukan mereka tak pandai bergaya dengan pakaian gah,tapi hati mereka tidak tidak selesa menarik perhatian orang dengan kemegahan zahir,” jelasnya di Facebook Mokhtar Dup (Dewan Ulama Pas).

Bersembunyi di celah-celah

Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat itu juga menganggap guru-gurunya yang merupakan ulama pondok “bersembunyi di celah-celah orang awam”.

“Mereka tidak suka dikenali. Kerana bila dikenali mereka akan menjadi sibuk melayan manusia dan tiada masa lagi untuk mereka asyik dengan zikirnya.

“Mereka memilih hidup sederhana dan zuhud kerana mereka sudah nampak racun-racun dunia lalu mereka mengambil mana-mana yang selamat darinya,” tambah bekas Ketua Dewan Ulama Pas Pahang itu lagi.

Sebelum ini, pengguna Facebook, Alexander Pitsuwan Thomprason mendedahkan skandal yang didakwa melibatkan Mokhtar dengan watak menyamar wanita cantik berkulit cerah bernama Leena.

Ekoran itu, kumpulan Geng Ustaz membuat laporan polis berhubung dakwaan skandal tersebut diikuti penegasan Mokhtar pada 2 Julai lalu akan bermunajat kepada Allah supaya roh individu pengguna Facebook, Farish Farish dipisahkan dari jasad.

Turut lantang membela Mokhtar ialah penceramah Ustaz Ahmad Husam Datuk Baderudin yang juga Presiden Kelab Pendokong Penyatuan Ummah Malaysia (KPPUM).

Dikenali warganet sebagai ‘ustaz jari tengah’, Ahmad Husam berpesan kepada Mokhtar agar misi yang sedang mereka rancangkan dalam apa yang dipanggil sebagai perjuangan “mengangkat martabat sistem pondok” tidak terjejas ekoran dakwaan berbaur lucah itu.