Sebelum ini saya tidak pun tergerak hati untuk ikut sama mengulas mengenai video keributan di pintu pagar masjid di Masjid Putrajaya pada hari Jumaat lalu, 10 September, dimana keributan itu sepatutnya tidak berlaku dan menjadi isu.
Apa nak mendirikan solat untuk mendekatkan diri kepada Allah pun ada masalah ke? Islam itu memudahkan bukan mempersulitkan. Islam itu kan damai dan berdamai? Pergi ke masjid untuk bersilaturahim bukan bergaduh.
Pihak masjid dan jamaah ada hak masing-masing untuk masing-masing menjaga kewajiban (fardu) dan SOP.
Tetapi apabila Imam Masjid itu Ikmal Zaidi Hashim yang kesal dengan video berkenaan kerana ditularkan dan dia tidak redha dan perlu mohon maaf kepadanya, menyebabkan hati saya tergerak untuk ikut komen.
Pada saya, cara imam itu tidak wajar kenapa sampai begitu emosi sekali, dengan apa yang berlaku.
Seorang imam di zaman langit terbuka ini harus sedia menerima apa sahaja kritikan terhadap tugas, tanggungjawab kepada permis itu dan tertibnya sebagai seorang imam.
Seorang imam sepatutnya berjiwa besar dan lebih bersikap menenangkan keadaan bukan mencari gaduh. Sampai tidak redha itu rasanya sudah berat.
Kenapa tidak redha? Berdoa agar orang yang sebar itu diberi hidayah adalah wajar. Tetapi sampai tidak redha dan tuntut minta maaf dalam kes seperti itu, ada beratlah sikit.
Baik juga orang ramai berdoa agar Allah berikan hidayah kepada imam itu, agar dia bersikap lunak, terbuka, tasamuh dan menjaga thumani’nah dan ciri-ciri sebagai seorang imam yang benar-benar soleh dan mendidik.