MOM kaji semula kriteria pemilihan atlet untuk temasya sukan

MOM kaji semula kriteria pemilihan atlet untuk temasya sukan

Majlis Olimpik Malaysia (MOM) meminda kriteria pemilihan atlet kebangsaan untuk mengambil bahagian dalam temasya sukan seperti Sukan Asia dan Sukan SEA bermula  tahun ini.

Presiden MOM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria  berkata  kriteria  pemilihan  akan  ditentukan  berdasarkan lima peringkat temasya sukan – peringkat dunia, peringkat Asia, peringkat SEA, peringkat belia dan lain-lain peringkat.

“Satu daripada perubahan utama dalam kriteria pemilihan  akan  berdasarkan  musim  semasa  terbaik   dalam tempoh 12 bulan, bukannya keputusan di temasya sukan sebelumnya untuk layak bagi kategori dibiayai  sepenuhnya atau dibiayai sendiri,” kata Mohamad Norza dalam satu sidang media selepas  mempengerusikan  Mesyuarat Lembaga Pengarah Eksekutif MOM untuk 2018 – 2021 di Wisma OCM, di sini hari ini.

Beliau berkata pemilihan ketua kontinjen untuk temasya sukan akan dibuat menerusi satu senarai calon yang dipilih MOM.

Bagi mereka yang tidak disenaraikan, mereka boleh mengemukakan permohonan menerusi  pencalonan  oleh persatuan sukan kebangsaan dan sebuah jawatankuasa pencarian akan dibentuk untuk melihat calon-calon sesuai dan mempelawa mereka untuk memohon.

Mohamad Norza berkata jawatankuasa pemilihan dianggotai beliau sendiri selaku Presiden MOM, Ketua  Pengarah Majlis Sukan Negara Datuk Ahmad Shapawi Ismail, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan  Negara, dua anggota bebas yang berpengalaman luas dalam sukan dan Setiausaha Agung MOM,  Datuk Mohd Nazifuddin  Najib yang menjadi ex officio jawatankuasa tanpa hak mengundi.

Dalam perkembangan lain, Mohamad Norza berkata Filipina yang bakal menjadi tuan rumah Sukan SEA 2019 pada November bersetuju untuk menganjurkan 56 sukan yang mengandungi 523 acara.

Beliau berkata MOM  telah menjemput wakil daripada Jawatankuasa Penganjuran Sukan SEA Filipina  untuk datang ke Kuala Lumpur pada 23 Jan ini untuk memberi taklimat terperinci  kepada kesemua 23 persatuan sukan kebangsaan negara ini kerana  pihak  tuan  rumah  akan  memperkenalkan  beberapa  jenis sukan baharu pada sukan dwitahunan itu.

Sementara itu, Mohamad Norza berkata MOM akan membuka permohonan kepada pengisian jawatan  Ketua Pegawai Operasinya bagi meningkatkan keberkesanan majlis itu dalam memainkan peranannya  sebagai  badan sukan kebangsaan di dalam negara.

“Kami akan mengiklankan jawatan itu tidak lama lagi dan saya telah memberikan mandat kepada Datuk Mohd  Nazifuddin untuk mengendalikan perkara ini,” katanya lagi.

— BERNAMA