MOM mahu CDM Sukan SEA bentang kewajaran lantik ramai timbalan

MOM mahu CDM Sukan SEA bentang kewajaran lantik ramai timbalan

Majlis Olimpik Malaysia (MOM) mahu ketua kontinjen (CDM) Malaysia ke Sukan SEA 2019 di Filipina Datuk Megat Zulkarnain Omardin membuat pembentangan mengenai kewajaran melantik lebih daripada satu timbalan CDM bagi membolehkan organisasi itu membuat pertimbangan sebaiknya.

Presidennya Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berkata secara peribadi, beliau melihat langkah itu wajar memandangkan penganjuran temasya melibatkan tiga bandar raya iaitu Manila, Subic dan Clark.

“Kita tunggu pembentangan daripada Datuk Megat Zulkarnain apakah keperluan beliau dan kita lihat sama ada keperluan itu memerlukan dua atau satu timbalan CDM dan dari situ kita akan perincikan dan akan buat pelantikan.

“Kita kena tahu bahawa Sukan SEA kali ini ada tiga venue utama dan Filipina telah menyenaraikan 56 jenis sukan, iaitu yang terbanyak sejak penganjuran Sukan SEA sebelum ini. Ini tanggungjawab yang besar,” katanya selepas majlis penyerahan sumbangan tajaan bas oleh Bank Rakyat kepada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) di sini, hari ini.

Mohamad Norza berkata demikian ketika mengulas saranan Megat Zulkarnain yang berasakan sebagai CDM untuk Sukan SEA ke-30 itu beliau memerlukan sekurang-kurangnya dua timbalan untuk mengawal selia pergerakan dan operasi sektretariat semasa temasya berlangsung.

Sementara itu, Mohamad Norza berkata proses pemilihan atlet negara yang bakal mewakili Malaysia bergantung kepada jumlah sebenar acara yang dipertandingkan di Sukan SEA yang akan diputuskan oleh tuan rumah dan Persekutuan Sukan SEA pada Januari depan.

Edisi ke-30 Sukan SEA dijadualkan berlangsung dari 30 Nov hingga 10 Dis tahun depan dan ia merupakan kali keempat Filipina menjadi tuan rumah selepas edisi 1981, 1991 dan 2005.

Megat Zulkarnain yang juga bekas Naib Presiden MOM, pernah menjadi Timbalan CDM bagi Sukan Asia 2018 di Indonesia, Ogos lalu.

Loading...

Beliau menggalas tugas berat berikutan status negara sebagai juara bertahan yang meraih 145 pingat emas di Sukan SEA ke-29 Kuala Lumpur 2017 (KL2017).

— BERNAMA