MOM perlu kaji dengan baik isu pengharaman penyertaan atlet Israel

MOM perlu kaji dengan baik isu pengharaman penyertaan atlet Israel

Kenyataan amaran Majlis Olimpik Malaysia (MOM) yang penolakan Kerajaan Malaysia untuk para perenang Israel mengambil bahagian dalam pertandingan Para-renang Antarabangsa di sini akan menjejas reputasi Malaysia perlu dikaji dengan baik.

Sukan antarabangsa adalah untuk memupuk semangat muhibah – persaudaraan antara negara dan juga berbagai bangsa serta agama. Negara Israel mengamalkan polisi perkauman ala apartheid ke atas rakyat mereka sendiri khususnya kepada orang Palestin yang diusir, dihukum dan dibunuh. Di mana akan timbulnya semangat muhibah dan kesukanan dalam senario Israel dengan negara negara Islam terutamanya?

Kalau negara Afrika Selatan yang pernah mengamalkan dasar apartheid dahulu pernah dipulau perdagangan, diplomatik dan juga sukan, kenapa tidak Israel? Malahan kekejaman Israel lebih dahshat dan lama lagi.

Ingatlah yang Malaysia yang layak ke Sukan Olimpik Moscow pada tahun 1980 telah memboikot Olimpik tersebut dengan banyak lagi negara Barat dan Islam atas sebab penindasan rakyat Afghanistan oleh Rusia.

Bukan sahaja Malaysia tetapi sebahagian besar dunia boikot acara sukan teragung dunia iaitu Olimpik. Tidak timbul pun pada masa itu konsep sukan dan politik tidak patut dicampur adukkan walaupun penaklukan Afghanistan oleh Rusia hanya sekitar satu dekad berbanding dengan penaklukan Palestin oleh Israel berpuluh-puluh tahun lamanya dengan restu Amerika dan Barat.

Pasukan bola sepak Malaysia yang sepatutnya ke Olimpik Moscow tahun 1980 terdiri dari Hasan Sani, James Wong, Shukor Salleh, Soh Chin Aun, Santokh Singh dan Jamal Nasir dan Armugam yang diurus oleh Datuk Bakar Daud – kesemuanya lagenda bola sepak Malaysia. Tiada yang merungut boikot tersebut.

Kalau difikirkan kualiti dan prestasi bola sepak Malaysia yang amat tinggi dan pendapatan serta kemudahan yang segala berkurangan pada masa itu, mereka taat dan menerima baik pengorbanan yang harus dibuat demi nyawa rakyat Islam Afghanistan walaupun hampir separuh skuad bukan pun beragama Islam. Itulah sikap terpuji disiplin ahli sukan dan pengurusan skuad Olimpik 1980 kita.

Itulah sebabnya Malaysia dihormati dan disegani dunia pada zaman itu.

Kita mohon pihak berkenaan menilai antara perlunya bersukan bermandi peluh bersama para atlet Israel dengan derita bermandi darah rakyat Palestin yang puluhan tahun dijajahi dasar apartheid dan kekejaman Israel.

* Raja Kamarul Bahrin Shah adalah Pengerusi Biro Antarabangsa AMANAH.