Momentum dagangan Malaysia yang kukuh disebabkan peningkatan aktiviti pengimport China — RHB

Momentum dagangan Malaysia yang kukuh disebabkan peningkatan aktiviti pengimport China — RHB

RHB Research Institute Sdn Bhd menjangka momentum dagangan yang kukuh di Malaysia akan berterusan pada bulan-bulan akan datang, disebabkan peningkatan aktiviti pengimport China akan berterusan berikutan gencatan perdagangan dan rundingan antara AS dan China.

Dalam satu nota penyelidikannya, RHB berkata, ia mengekalkan unjuran pertumbuhan eksport kasar merosot kepada empat peratus pada 2019, berbanding 5.7 peratus yang dianggarkan pada 2018, disebabkan prospek perdagangan global yang lebih lemah dan kelembapan permintaan dari China.

“Pertumbuhan eksport melonjak kepada 17.7 peratus tahun ke tahun pada Oktober berbanding 6.5 peratus pada September, melepasi anggaran konsensus 5.8 peratus.

“Ia hasil daripada permintaan dari China berikutan jangkaan kenaikan tarif AS yang dijangkakan kepada 25 peratus daripada 10 peratus ke atas eksport China bernilai AS$250 bilion pada 1 Januari 2019,” katanya.

Firma penyelidikan itu juga menyatakan bahawa eksport yang lebih tinggi juga disokong oleh harga minyak yang melonjak melebihi AS$80 setong pada Oktober, menyebabkan nilai eksport komoditi yang lebih tinggi.

Mengulas mengenai lebihan akaun semasa imbangan pembayaran, ia berkata, jumlah itu dijangka akan melebar pada 2019 kepada RM38.8 bilion atau 2.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) daripada 2.2 peratus daripada KDNK pada 2018, disebabkan import barangan dan perkhidmatan yang lebih rendah berikutan penangguhan projek infrastruktur.

— BERNAMA