Malaysia Dateline

Momentum hubungan ekonomi Thailand-Malaysia akan terus diperkukuh

Hubungan dua hala Thailand-Malaysia semakin kukuh dan momentum itu akan terus didukung menerusi pelbagai inisiatif bagi memastikan hubungan di sepanjang sempadan bersama berjalan lancar, kata Duta Besar Thailand ke Malaysia, Narong Sasitorn.

Beliau turut optimis dengan hubungan dua hala itu berdasarkan inisiatif positif yang diambil kedua-dua kerajaan dalam usaha meningkatkan dan memperbaiki hubungan di sempadan.

Ia termasuk pelaksanaan operasi 24 jam di Cawangan Kastam, Pemeriksaan Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Sadao di Thailand dan di Komples Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam, Malaysia, yang sebelum ini dibuka 18 jam.

Operasi itu akan bermula 1 April untuk tempoh percubaan selama tiga bulan bagi kenderaan berat dan kargo perniagaan.

“Ini akan memudahkan aliran barangan. Ia akan memberikan satu momentum kerana  terus meliberalisasikan dari aspek sambungan di sepanjang sempadan,” katanya kepada Perkhidmatan Berita Antarabangsa Bernama.

Beliau ditemui selepas program demonstrasi masakan Thai “Spiced It Right!” di sini.

Di samping itu, Thailand dan Malaysia bersetuju mempercepatkan pembinaan Jambatan Tak Bai-Pengkalan Kubor dan Jambatan Sungai Golok-Rantau Panjang yang menghubungkan Kelantan dan Narathiwat.

Narong berkata, kedua-dua negara menjalinkan hubungan sejak 1957 yang menyaksikan kekukuhan perdagangan dan pelaburan kedua-dua negara mencecah kira-kira US$24 bilion tahun lepas.

“Jumlah dagangan terus bertambah tetapi antara cabaran utama ialah untuk melibatkan perusahaan kecil kecil (PKS) termasuk perusahaan mikro dan usahawan muda pemula niaga daripada kedua-dua pihak untuk lebih terlibat dalam  hubungan ekonomi (Thailand-Malaysia),” jelasnya.

Ujar beliau Thailand dan Malaysia adalah sebahagian daripada rantaian bekalan global dalam industri pembuatan seperti peralatan automotif, elektronik dan elektrik, pemprosesan data, petrokimia, produk pertanian dan komoditi.

“Kedua-dua negara menggunakan pendekatan sama (pro-pelaburan, pro-perniagaan dan pro-kesalinghubungan). Kami ingin meningkatkan sistem perhubungan untuk memudahkan logistik bagi menjamin keberkesanan kos rantaian bekalan.

“Cabaranya ialah untuk memastikan apa sahaja yang dilakukan Thailand dan Malaysia saling melengkapi antara satu sama lain.

“Kita perlu pastikan pelan kedua-dua pihak segera dilaksanakan dan perkara inilah yang menjadi keutamaan dalam perbincangan pembangunan ekonomi kita,” katanya.

Mengenai potensi kerjasama dalam industri perikanan dan makanan laut, Narong berkata sektor swasta di kedua-dua negara boleh bekerjasama dalam memerangi aktiviti haram, penangkapan ikan yang tidak dilaporkan dan tidak terkawal (IUU) selain meneroka peluang perniagaan usaha sama.

“Kita perlu berhati-hati dan bertanggungjawab kerana produk marin adalah warisan semula jadi untuk manusia. Kami ingin berkongsi dengan mereka yang berpengalaman dalam industri perikanan untuk memastikan tiada lagi amalan penangkapan ikan IUU. Ini adalah sesuatu yang kita boleh sepakati selain perniagaan,” katanya.

— BERNAMA