Momentum Pakatan Harapan mampu ubah landskap politik Negeri Sembilan

Momentum Pakatan Harapan mampu ubah landskap politik Negeri Sembilan

Perkembangan AMANAH di negeri-negeri selatan Semenanjung menarik untuk disoroti memandangkan koridor selatan pantai barat Semenanjung adalah kawasan subur untuk perkembangan parti baru ini. Demografi penduduknya yang rencam memberi kelebihan kepada AMANAH — parti Islam berciri progresif dan inklusif — untuk bertapak. Setakat manakah perkembangan AMANAH di koridor selatan khususnya di Negeri Sembilan. Ikuti wawancara bersama Pengerusi AMANAH Negeri Sembilan, Zulkefly Mohamad Omar bagi meninjau lebih lanjut kemajuan AMANAH di negeri adat perpatih itu.

Boleh saudara jelaskan secara ringkas tentang perkembangan AMANAH di Negeri Sembilan setelah setahun ditubuhkan?

AMANAH sebenarnya tiada persaingan dengan Pas di sini. Berbeza dengan di negeri-negeri lain. Di sini kita macam ‘mati kutu’ (ketawa) sebab ramai bekas pimpinan Pas termasuk tiga bekas pesuruhjayanya termasuk saya sertai AMANAH. Pimpinan dulu pun banyak yang uzur, tidak aktif dengan parti.

Sekarang yang masih dalam Pas masih berhubung dengan saya walaupun belum buat keputusan untuk masuk AMANAH tetapi minat untuk bersama kita.

Semasa saya menyertai AMANAH, kebanyakan orang lama yang pernah berada di bawah kepimpinan saya pun ikut sekali. Pelbagai peringkat termasuk Yang Dipertua kawasan. Hampir semua bersama kita.

Di Negeri Sembilan ada lapan kawasan, kesemua kawasan ini kita sudah tubuh AMANAH. Semua ini kita capai sebelum pelancaran AMANAH peringkat nasional. Pimpinan kawasan yang kita lantik pun terdiri daripada bekas pimpinan Pas yang berpengalaman dan juga aktivis Ikram. Semuanya berpengalaman.

Sambutan orang Negeri Sembilan terhadap AMANAH pula bagaimana?

Program kita penuh… Setiap program yang kita anjurkan Alhamdulillah dapat sambutan. Malah Presiden AMANAH Mohamad Sabu pun akui, dahulu apabila beliau berceramah di Negeri Sembilan memang ramai yang hadir, tapi sekarang lebih ramai dan ramai muka baru.

Beliau sendiri mengakui Negeri Sembilan amat berpotensi untk AMANAH berkembang.

Sebaliknya Pas tidak berani anjurkan ceramah sekarang. Walaupun pemimpin tertinggi Pas hadir berceramah, hanya 20 ke 30 orang sahaja yang dengar. Itu pun semasa jamuan hari raya.

Menteri Besar Kelantan pun pernah datang di Ampangan tapi sambutannya hambar. Tempat itu strategi tetapi hanya 20 hingga 30 orang yang hadir.

Sekarang ini tiada pemimpin Pas yang mahu hadir bila dijemput kerana tiada sambutan.

Daripada lapan kawasan parlimen di Negeri Sembilan, manakah yang menjadi kawasan tumpu AMANAH?

Kita bertanding di tiga kerusi majoriti Melayu yang juga terdapat kawasan penempatan Felda iaitu Jempol, Jelebu dan Tampin. Pembahagian kerusi di peringkat Dewan Undangan Negeri (Dun) masih berjalan.

Rundingan masih berlangsung untuk pastikan kerusi yang kita bertanding tak bertindih dengan parti sekutu kita. Ini dikendalikan oleh jawatankuasa khas, proses masih berlangsung, belum selesai lagi.

Formula AMANAH akan bertanding di semua kerusi yang dahulunya ditandingi Pas diterima di peringkat Pakatan Harapan negeri?

Kita dah bersetuju sejak awal (bahawa kerusi yang ditandingi Pas akan ditandingi AMANAH). Tapi masih ada rundingan dengan parti-parti Pakatan Harapan negeri khususnya Keadilan untuk beberapa kerusi Dun.

Semuanya berkisar tentang calon mana yang lebih berpotensi.

Apa kelebihan yang ada pada AMANAH berbanding Pas dalam konteks meraih sokongan rakyat?

Di Negeri Sembilan, majoriti yang dahulunya aktif dalam Pas kini menyertai AMANAH. Jadi bila mereka masuk AMANAH lumpuh jentera Pas. Setiap kali program Pas tak seramai seperti program AMANAH.

Saya juga nampak kelebihan muka-muka baru yang terlibat dengan AMANAH. Mereka daripada badan bukan kerajaan (NGO) seperti Abim, Ikram yang mana sebelum ini ada dalam Pas tapi tak aktif.

Yang kedua, hubungan antara kaum. Sokongan daripada masyarakat bukan Melayu terhadap AMANAH sangat kuat.

Di sudut dalaman parti, tidak berlaku perpecahan seperti dalam Pas. Golongan profesional dalam AMANAH ramai. Ustaz yang ‘profesional’ juga ramai menyertai AMANAH. Non partisan. Bekas anggota Umno juga menyertai AMANAH. Contohnya Timbalan Ketua AMANAH Kawasan Rasah.

Ramai pensyarah, guru-guru dan golongan profesional lebih mudah menyertai kita. Mereka yakin dengan kita. Ustaz-ustaz yang profesional di Negeri Sembilan termasuk yang berkhidmat di jabatan agama Islam lebih suka AMANAH berbanding Pas yang dilihat ortodoks.

Maksudnya mereka tertarik dengan sifat AMANAH yang lebih terbuka, lebih inklusif berbanding Pas?

Ya. Satu kelebihannya dan kekuatan pada kita bila ada tiga orang bekas Pesuruhjaya Pas masuk AMANAH.

Orang lebih kenal saya, Taufek Abdul Ghani (bekas Adun Paroi) dan MK Ibrahim Abdul Rahman berbanding pesuruhjaya Pas sekarang yang tak dikenali ramai. Malah ada yang beranggapan saya dan Taufek masih pesuruhjaya Pas.
 
Kami lama bergerak aktif dalam Pas, jadi aktivis Pas yang masih tinggal tak berani cakap banyak selepas kami masuk AMANAH. Tak macam di negeri-negeri lain. Mereka malu alah dengan kita.

Hubungan dengan sesama rakan Pakatan Harapan bagaimana pula?

Rakyat boleh terima kita. AMANAH dilihat profesional dalam masyarakat berbanding masa kita dalam Pas. Mereka yakin dengan kita. Program-program AMANAH banyak dan dapat sambutan. Program bersama juga kerap kita anjurkan.

Baru-baru ini kita anjurkan majlis makan malam. Semua 100 meja habis dijual.

Maksudnya momentum dalam Pakatan Rakyat dulu dibawa ke dalam Pakatan Harapan?

Ya betul.

AMANAH akan bertanding di kerusi majoriti Melayu tatkala Pas dan Umno memainkan sentimen kaum. Kononnya DAP akan kuasai politik Melayu, AMANAH dianggap kuda tunggangan DAP yang akan hakis kuasa politik Melayu. Jadi bagaimana AMANAH Negeri Sembilan mengatasi masalah ini?
 
Majoriti kerusi parlimen bagi kaum Cina tak banyak. Daripada 222 kerusi tak sampai satu per empat mereka jadi ahli parlimen. Jadi bagaimana nak jadi perdana menteri? Ada kerusi mereka tandingi calonnya Melayu dan Islam. Dalam kalangan kerusi DAP calon mereka terdiri daripada pelbagai kaum, bukan Cina sahaja. Jadi DAP akan kuasai politik negara itu tak betul.

Ada perbincangan dibuat di peringkat Pakatan Harapan Negeri Sembilan untuk calon menteri besar?

DAP sudah putuskan calon menteri besar Negeri Sembilan ialah orang Melayu sama ada daripada AMANAH atau Keadilan seperti yang termaktub dalam undang-undang tubuh negeri.

Potensi Pakatan Harapan untuk bentuk kerajaan pada PRU14?

Ia boleh dicapai apabila semua parti mencapai kesepakatan. Dengan gerak kerja awal yang kita telah mulakan daripada sekarang, insya Allah kita berpotensi membentuk kerajaan menggantikan BN.

Faktor Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) bagaimana?

Dalam Bersatu mereka ada Dr Mahathir yang masih berpengaruh terutama di kalangan orang kampung. Mereka suka. Bagi mereka Dr Mahathir adalah ikon kejayaan Malaysia.

Dalam isu kenaikan harga barang dan perkhidmatan, mereka (penduduk kampung) sangat rasa kesusahannya. Sebelum ini mereka tak rasa (di era pentadbiran Dr Mahathir). Orang-orang Felda juga marah. Jadi ada potensi untuk kita menang kawasan-kawasan ini.

Ada buat program dengan Bersatu?

Ada. Kita juga selalu jemput wakil Bersatu. Bersatu tak jemput Pas dan DAP masa Dr Mahathir dan Tan Sri Muhyiddin Yassin datang ke Negeri Sembilan tapi mereka jemput AMANAH.

Apakah sebab utama yang menyebabkan rakyat Negeri Sembilan perlu menolak BN pada PRU14?

Kehidupan rakyat semakin tertekan. Dengan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang dikenakan kepada semua rakyat tidak terkecuali sama ada berpendapatan rendah atau tinggi.

Isu-isu Felda cukup kuat untuk dijadikan sebab bagi mereka tolak BN. Ikon Dr Mahathir yang dipandang tinggi oleh masyarakat dan telah membawa kejayaan kepada Malaysia juga diambil kira.

TAGS