Malaysia Dateline

Momota dijangka ambil bahagian dalam kejohanan Masters Malaysia 2020

 Pemain perseorangan lelaki nombor satu dunia Kento Momota akan menjadi antara pemain hebat yang akan mengambil bahagian dalam Kejohanan Masters Malaysia Perodua 2020 yang dijadualkan berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil dari 7-12 Jan.

Pemain dari Jepun berumur 25 tahun yang merangkul 11 gelaran juara musim ini merupakan pilihan ramai untuk menjuarai kejohanan pembukaan musim, yang menawarkan hadiah tunai berjumlah US$400,000 (RM1.637 juta).

Ia berikutan ketiadaan lagenda badminton Malaysia, Datuk Lee Chong Wei yang mengumumkan persaraannya pada 13 Jun selepas menjalani pembedahan kanser hidung di Taiwan, selain ketiadaan juara Olimpik dua kali Lin Dan dari China, yang memutuskan untuk tidak menyertai Kejohanan BWF World Tour Super 500 itu.

Momoto dalam kenyataan yang dikeluarkan penganjur hari ini tetap merendah diri dan menganggap Chong Wei dan Lin Dan antara lagenda pemain badminton dunia berdasarkan kepada pelbagai kejayaan yang dicapai mereka.

Bintang Jepun yang membuat penampilan kali kedua dalam kejohanan ini nanti akan berhadapan dengan bekas pemenang Sukan Komanwel Kashyap Parupalli dari India dalam pusingan pembukaan.

Musim ini menyaksikan Momota beraksi dengan cemerlang apabila berjaya memenangi beberapa kejuaraan, termasuk mempertahankan gelaran juara dunia, dan juara Asia, selain memenangi gelaran juara All-England yang menyaksikan beliau dinamakan sebagai penerima anugerah Badminton World Federation (BWF) Player of The Year.

Lain-lain pemain ternama yang akan menyertai kejohanan ini nanti adalah pemain nombor dua dunia Chou Tien Chen dari Taiwan, pemain nombor tiga dunia, Chen Long dari China serta dua pemain Denmark — Anders Antonsen dan Viktor Axelsen yang masing-masing ketika ini menduduki tempat keempat dan kelima dunia.

Chong Wei memenangi kejuaraan Masters Malaysia pada tahun 2009, 2010, 2011, 2012 dan 2016, manakala Lin Dan tidak pernah memenangi kejuaraan itu sejak ia dimulakan pada tahun 2009.– BERNAMA