Moody turunkan penarafan kewangan Malaysia dari positif kepada stabil

Moody turunkan penarafan kewangan Malaysia dari positif kepada stabil

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Agensi penarafan kewangan dunia Moody’s telah menurunkan prospek ekonomi Malaysia dari “positif” kepada “stabil” yang menunjukkan penurunan dalam penarafan kewangan negara.

“Lazimnya sebarang penurunan taraf prospek ekonomi sesebuah negara oleh agensi penarafan dilihat sebagai ancaman kepada penarafan kewangan negara tersebut,” kata Rafizi Ramli, ahli parlimen Pandan dalam satu kenyataannya.

Katanya, sejak menjadi Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dalam tahun 2009, Datuk Seri Najib Tun Razak telah menjadikan pengurangan defisit dan penghapusan subsidi sebagai jihad ekonomi beliau demi memastikan penarafan kewangan Malaysia (“sovereign rating of Malaysia”) tidak diturunkan oleh agensi-agensi penarafan seperti Moody’s.

Ini berikutan kebergantungan pentadbiran beliau kepada hutang akibat keborosan kerana sebarang penurunan penarafan akan menyebabkan kadar faedah hutang Kerajaan Persekutuan menjadi lebih tinggi, lalu menyukarkan pentadbiran beliau untuk terus berhutang.

Katanya, Najib juga tunduk kepada tekanan agensi-agensi antarabangsa untuk melaksanakan dasar-dasar ekonomi yang anti-rakyat seperti pelaksanaan GST dan penghapusan subsidi.

“Demi memastikan nasihat agensi-agensi antarabangsa ini diikuti, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak mengendahkan kepayahan yang ditanggung oleh rakyat akibat dasar-dasar yang anti-rakyat,”katanya.

Hari ini, GST telah dilaksanakan selama lebih 9 bulan dan lebih RM30 bilion telah dikutip dari rakyat.

Hampir keseluruhan dari subsidi yang sebelum ini dinikmati rakyat telah dihapuskan semuanya termasuklah subsidi petrol dan diesel.

Beliau juga, kata Rafizi, memotong peruntukan-peruntukan penting untuk pendidikan dan biasiswa di dalam belanjawan 2016 yang dibentangkan Oktober 2015 lalu.

“Malangnya, kesemua dasar-dasar anti rakyat ini yang menyebabkan beban sara hidup rakyat naik berganda, mahasiswa terpaksa mengikat perut, rakyat melakukan lebih dari satu kerja untuk menampung kenaikan harga dan lain-lain kepayahan – tidak pun berjaya menghalang Moody’s dari menurunkan prospek ekonomi Malaysia dari positif kepada stabil,”katanya yang juga naib presiden PKR.

Ini bermakna, katanya, keputusan Najib yang mempertaruhkan kebajikan rakyat demi memastikan agensi penarafan antarabangsa tidak memberikan isyarat yang negatif mengenai penarafan kewangan Malaysia adalah sia-sia.

Rakyat menanggung beban dan prospek ekonomi Malaysia tetap diturunkan oleh Moody’s, katanya.

“Sebab itu, pendekatan ekonomi konvensional yang diambil oleh Datuk Seri Najib Tun Razak akan terus menjadi sia-sia dan tidak berkesan selagi ia tidak menangani barah utama ekonomi negara iaitu rasuah, tatakelola yang lemah dan tiadanya amanah,” katanya.

Bagi Setiausaha Agung PKR itu, ekonomi Malaysia akan kembali mampan bila mana dasar-dasar ekonomi pro-rakyat dilaksanakan selari dengan perang besar-besaran membanteras rasuah, menguatkan tatakelola dan membina amanah di dalam pentadbiran negara.

TAGS