Moratorium pinjaman yang baru diumumkan bawah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) sebenarnya lebih teruk daripada apa yang telah diumumkan pada tahun lepas.
Adun Permatang Pasir, Faiz Fadzil berkata, jika sebelum ini tiada sebarang permohonan perlu dibuat, namun begitu kini rakyat terpaksa memohon untuk menerima moratorium tersebut.
Sejajar dengan itu katanya, ia bukan sahaja sama seperti dahulu, tetapi kadar faedah masih dikenakan sepanjang tempoh moratorium seperti mana yang telah diakui oleh Menteri Kewangan sendiri, cumanya faedah atas faedah atau ‘compounded interest’ dan caj penalti lewat dikecualikan.
“Secara logiknya rakyat akan rugi besar dalam jangka masa panjang kerana tempoh pinjaman akan dipanjangkan dengan mengambil kira kadar faedah yang dikenakan dalam tempoh moratorium serta tanggungan faedah ini menekan rakyat kerana tempoh bayaran balik lebih panjang berbanding tempoh enam bulan Moratorium.
“Lebih menghairankan kenapa konsep moratorium tidak ditambah baik untuk menolong rakyat walaupun ekonomi semakin parah.
“Pada tahun lepas, walaupun wujud moratorium, tidak ada satu pun bank yang mencatatkan kerugian dan apakah Menteri Kewangan yang juga bekas Pegawai Eksekutif CIMB, tidak prihatin dengan keadaan semasa,” ujar Faiz lagi.
Tambahnya, walaupun perniagaan PKS dihimpit teruk dan hidup rakyat semakin tertekan, tetapi nampaknya situasi ‘banker jaga banker’ masih lagi tidak berubah.
Seharusnya kerajaan PN mengambil contoh negara Hungary yang telah menggantung pengenaan faedah sepanjang tempoh moratorium dimana ia telah pun dilaksanakan tanpa henti sejak Mac 2020 dan dijangka berakhir pada Ogos tahun ini.
Ujar Faiz lagi, dasar berterusan membiarkan rakyat menggunakan wang sendiri melalui i-Citra sesuatu yang membimbangkan terhadap situasi semasa simpanan KWSP.
Kata beliau, sepatutnya kerajaan mengecualikan golongan ini daripada pengeluaran i-Citra, sebaliknya membantu mereka dengan dana kerajaan sendiri. Kerajaan juga perlu segera merangka pelan jangka masa panjang untuk menangani isu ini.
Pelan ini juga katanya, harus memperincikan bagaimana golongan tersebut boleh dibantu supaya simpanan KWSP boleh mencecah paras mencukupi tatkala mereka bersara termasuklah mempertimbangkan pelaksanaan pulangan KWSP mengikut kumpulan atau ‘tiered returns’.