Malaysia Dateline

Moratorium disambung untuk mereka yang hilang kerja

Tempoh moratorium atau penangguhan bayaran balik pinjaman akan dipanjangkan bagi mereka yang kehilangan pekerjaan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat wabak pandemik Covid-19.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, bagi individu yang kehilangan pekerjaan pada tahun ini dan masih belum mendapat pekerjaan baru, moratorium lanjutan bersasar akan diberikan untuk tiga bulan, dengan syarat peminjam membuat permohonan untuk maklumat kewangan.

Selepas tempoh itu beliau berkata, institusi kewangan boleh melanjutkan tempoh sekiranya individu masih tidak berjaya mendapatkan pekerjaan.

“Bagi individu yang masih bekerja tetapi gaji mereka terjejas atau berkurang, bantuan bersasar adalah bentuk bayaran ansuran yang dikurangkan selaras dengan kadar pengurangan gaji, bergantung kepada jenis pinjaman.

“Bantuan ini adalah untuk tempoh sekurang-kurangnya enam bulan dan lanjutan boleh diberikan oleh institusi kewangan tertakluk kepada keadaan gaji semasa individu yang memerlukannya,” katanya dalam siaran langsung Perutusan Khas Perdana Menteri, hari ini.

Sementara itu, Muhyiddin berkata, pertimbangan akan diberikan kepada peminjam-peminjam lain, termasuk individu atau PKS, pengguna, penjaja atau mereka yang bekerja sendiri yang turut terkesan akibat Covid-19.

Menurutnya, antara kelegaan yang ditawarkan termasuk faedah tambahan untuk satu jangka masa yang ditetapkan, memanjangkan tempoh keseluruhan pinjaman bagi mengurangkan pembayaran balik bulanan atau pelepasan lain yang sesuai.

Justeru katanya, langkah pertama untuk peminjam ialah segera menghubungi institusi kewangan atau bank masing-masing bagi mendapatkan maklumat yang tepat.

Permohonan boleh dibuat mulai 7 Ogos 2020.