Malaysia Dateline

Moratorium: ‘Zafrul tahu tentang kuasa darurat, dia tidak jujur dengan rakyat’

Menteri Kewangan, Datuk Tengku Zafrul Abdul Aziz dianggap mengeluarkan kenyataan palsu apabila mengatakan kerajaan tiada kuasa untuk mengarahkan institusi-institusi kewangan memberi moratorium automatik kepada golongan M40.

Peguam, Haniff Khatri Abdulla berkata, adalah menjadi satu kesalahan apabila pemimpin mengeluarkan kenyataan sedemikian kerana di bawah kuasa darurat, kerajaan mempunyai kuasa untuk menggubal ordinan-ordinan tertentu.

Bahkan katanya, tujuan utama darurat diwujudkan di dalam perlembagaan adalah untuk membolehkan pihak berkuasa melaksanakan segala perkara untuk mengawal keadaan ketika kecemasan.

“Itulah sebabnya saya bangkitkan supaya perkara yang betul ditegakkan. Kita tidak boleh menerima satu keadaan di mana rakyat ditipu tentang keadaan sebenar.

“Kalau kerajaan atau para pemimpin beri kenyataan palsu, maka saya sebagai pengamal undang-undang tidak boleh membiarkan kepalsuan itu menular sehingga ke rakyat yang tidak faham.

“Apabila menteri mengatakan mereka tidak ada kuasa, rakyat akan terima. Tetapi kita tahu itu palsu. Sekiranya ada perkara-perkara lain menjadi kekangan kerajaan, mereka patut cerita. Tapi jangan beri kepalsuan. Itu kita tidak boleh benarkan,” katanya dalam satu siaran langsung di Facebook Jom Channel malam tadi.

Mengulas lanjut, Haniff juga tidak menolak kemungkinan bahawa Zafrul sebenarnya sudah maklum tentang kuasa darurat yang mampu melakukan apa sahaja, tetapi beliau tidak ingin berlaku jujur dengan rakyat.

Beliau berkata, Zafrul sewajarnya meminta pendapat dan pandangan pakar perundangan di dalam kementeriannya berhubung isu berkenaan sekiranya dia tidak mengetahui tentang undang-undang ketika darurat.

“Besar kemungkinan dia tahu, tapi dia tak ingin berlaku jujur dan berterus terang dengan rakyat.

“Dia mengharapkan apa yang dia cakap itu akan diterima seolah-olah itulah kedudukan sebenar iaitu kerajaan tak mempunyai kuasa terhadap bank-bank komersial walaupun pada masa darurat.

“Isu ini bagi saya kalau itulah hakikatnya, maka itu bukan sahaja salah, tetapi dia mempunyai niat jahat. Niat jahat seperti ini lah rakyat tidak boleh terima. Rakyat tak boleh benarkan perkara ini berleluasa,” tegasnya.