Mosti tambah peruntukan RM20 juta dana khas pengkormersilan

Mosti tambah peruntukan RM20 juta dana khas pengkormersilan

Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) memperuntukkan dana khas berjumlah RM20juta sebagai peruntukan tambahan sempena Tahun Pengkomersilan Malaysia 2016 bagi memberi impak tinggi kepada negara dalam sektor itu.

Timbalan Menterinya Datuk Dr Abu Bakar Mohamad Diah berkata peruntukan berkenaan diselia Jawatankuasa Khas Pengkomersilan yang ditubuhkan bagi memberi nilai tambah bagi setiap produk dihasilkan untuk tujuan pengkomersilan.

“Dana ini sebagai pemudah cara kepada penyelidik kita sekiranya diperlukan untuk menambah elemen atau memberi nilai tambah agar produk yang dihasilkan mampu dikomersilkan.

“Usaha ini akan dilaksanakan Jawatankuasa Pengkomersilan yang ditubuhkan di peringkat Mosti bersama beberapa agensi lain sebagai langkah terbaharu kita meningkatkan nilai produk yeng hendak dikomersilkan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Komputer peringkat Parlimen Tangga Batu anjuran bersama Standard Chartered di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Abu Bakar berkata sehingga kini 125 produk penyelidikan telah berjaya dikomersilkan sejak 2014 namun sebahagian daripadanya dilihat masih belum mencapai standard antarabangsa iaitu produk yang berimpak tinggi.

“Kita tidak mempunyai masalah besar untuk mencapai sasaran 360 produk untuk dikomersilkan sempena Tahun Pengkomersilan Malaysia 2016 ini namun bukan semua daripanya merupakan produk berimpak tinggi,” katanya.

Beliau berkata penyelidik tempatan disaran memberi tumpuan khusus terhadap pengeluaran produk elektrik dan elektronik yang dilihat mempunyai impak lebih tinggi berbanding produk makanan dan sebagainya.

Katanya MOSTI akan memberi tumpuan terhadap produk keluaran agensi di bawah kementerian itu antaranya Sirim Bhd, Yayasan Inovasi Malaysia dan Agensi Nuklear Malaysia kerana kebanyakan keluaran agensi berkenaan mempunyai impak tinggi dan mampu bersaing di pasaran antarabangsa.

CATEGORIES