Malaysia Dateline

MOT perlu wujudkan mekanisme penentuan tambang bagi perkhidmatan e-hailing, kata PPBAEM

Pertubuhan Pemandu Berasaskan Aplikasi Elektronik Malaysia (PPBAEM) menyarankan agar Kementerian Pengangkutan (MOT) mewujudkan mekanisme bagi penentuan tambang untuk perkhidmatan e-hailing.

Dalam masa sama PPBAEM menyambut baik keputusan kementerian berkenaan untuk melaksanakan secara soft-landing dengan penguatkuasaan pendidikan melanjutkan tarikh penguatkuasaan tetap selama 3 bulan.

Pengerusi pertubuhan itu, Catherine Yee Kar Ting berkata, PPBAEM mengucapkan terima kasih kepada YB Menteri Pengangkutan Malaysia ke atas keperihatinan mempertimbangkan kepentingan perkhidmatan e-hailing sebagai pengangkutan awam yang amat penting kepada semua pengguna.

“Kami juga bersetuju dengan kenyataan pihak MOT bahawa tambang perkhidmatan e-hailing tidak akan dikawal oleh pihak MOT.

“Bagaimanapun PPBAEM ingin mengutarakan bahawa dengan 31 lesen Lesen Perniagaan Pengantaraan (LPP) adalah penting mekanisme penentuan tambang mengambil kira komponen-komponen kos pengankutan supaya pemandu/rakan perkhidmatan e-hailing tidak menjadi mangsa persaingan tidak wajar di antara pemegang LPP.

“Dalam perkara ini harus menjadi pengajaran bahawa pihak Uber, syarikat pelopor perkhidmatan e-hailing telah membuat kepastian untuk menamatkan perkhidmatan di rantau Asia Tanggara kerana persaingan tidak wajar yang tidak dipantau oleh pihak kawalselia. Masa penggabungan perkhidmatan Uber dan Grab masih belum ditentukan tindakan sehingga kini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu tambah beliau, pihak MOT harus menubuhkan makmal rundingan pihak-pihak pemegang taruh untuk mengumpulkan maklum balas berkaitan semua kos pengendalian perkhidmatan e-hailing untuk menentukan mekanisme penentuan tambang.

“Pihak kawalselia harus bermula menerapkan sistem penetuan tambang pengangkutan awam secara berkala selaras dengan kos sebenar perkhidmatan supaya ia tidak menjadi halangan untuk menggalakan perkhidmatan yang bermutu dan cemerlang memandangkan perkhidmatan e-hailing tidak menerima sebarang subsidi,” ujarnya.