Motif pembunuhan Bill Kayong tidak akan didedah, kata polis

Motif pembunuhan Bill Kayong tidak akan didedah, kata polis

Polis tidak akan mendedahkan motif di sebalik pembunuhan aktivis PKR Bill Kayong kerana tidak mahu mengganggu siasatan yang sedang dijalankan.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mazlan Mansor berkata beberapa tindakan masih lagi perlu diambil untuk melengkapkan siasatan sebelum hasil siasatan dikemukakan kepada pendakwa raya, lapor Borneo Post.

“Saya tidak berhasrat untuk mendedahkan hasil siasatan kami, seperti motif pembunuhan kerana dikhuatiri akan menjejaskan siasatan dan proses perbicaraan di mahkamah nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada majlis rumah terbukanya sempena Hari Raya Aidilfitri di kediaman rasminya di sini, kelmarin.

Selain itu beliau turut ditanya sama ada enam suspek yang ditahan sebelum ini hanya sebagai pembunuh upahan dan siapakah dalang di sebalik insiden tersebut.

“Seperti apa yang saya telah katakan, saya tidak dapat mendedahkan apa-apa buat masa sekarang kerana siasatan masih dijalankan dan kami tidak akan menghentikan siasatan sehingga kami berpuas hati bahawa kami sudah mengambil setiap langkah yang ada.” katanya.

Sementara itu, Mazlan turut memberitahu bahawa pihaknya kini sedang menjalankan pemantauan secara menyeluruh mengenai pembabitan anggota polis dalam kegiatan berkaitan pengganas.

“Orang ramai mesti juga berwaspada dan segera memaklumkan kepada polis jika mereka mengesan sebarang kegiatan yang mencurigakan,” katanya.

COMMENTS

Wordpress (0)