Malaysia Dateline

Motif PM sebut ‘projek terowong’ bazir duit rakyat dipersoal

Motif di sebalik kenyataan Perdana Menteri (PM), Datuk Seri Najib Tun Razak kononnya Pulau Pinang tidak memerlukan terowong bawah dasar laut serta projek Kerajaan Negeri Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang itu hanya membazirkan wang rakyat sahaja dipersoal.

Mengulas perkara itu, Ketua Menteri Lim Guan Eng memberitahu, Najib bersama-sama Perdana Menteri Republik Rakyat China pada April 2011 menyaksikan sendiri majlis menandatangani Perjanjian Persefahaman ‘projek terowong’ tersebut.

Lim Guan Eng

“Kenapa tiba-tiba sahaja PM turut bercakap mengenai projek terowong bawah dasar laut akan membazirkan wang rakyat?

“Saya tidak cakap (cadangan) projek ini dibuat sekarang, tapi pada tahun 2027 terowong bawah dasar laut ini akan siap untuk menangani lambakan trafik sesak pada tahap maksimum waktu itu,” jelas beliau dalam satu sidang media yang rakaman videonya disiarkan dalam Facebooknya.

Justeru, Guan Eng tidak menolak kemungkinan bahawa kenyataan berbaur politik itu dibuat Najib dengan mengambil kira musim Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) yang semakin hampir.

Dalam pada itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan turut menyatakan hasrat untuk bertemu dan memberi penjelasan secara bersemuka mengenai projek bernilai RM6.3 bilion tersebut.

“Saya memang ingin memberi peluang kepadanya (kerana) beliau mungkin sibuk.

“Saya bersedia berjumpa dengannya untuk menjelaskan projek itu,” ujarnya yang juga Setiausaha Agung DAP Kebangsaan.

Dalam perkembangan lain, Guan Eng sekali lagi menegaskan bahawa pemilihan tender ‘projek terowong’ tersebut dilaksanakan secara tender terbuka, yang mana penjawat awam tertinggi di peringkat negeri iaitu Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Seri Farizan Darus sendiri yang mempengerusikan Jawatankuasa Lembaga Perolehan Negeri.