Malaysia Dateline

Motif Umno 3.0 bukan tolak Zahid, Tok Mat sahaja, dakwa pemimpin Umno

Pemimpin Umno yakin, motif utama kumpulan yang mahukan pemilihan parti itu disegera bukan sekadar mahu membuang Datuk Seri Ahamd Zahid Hamidi dan Datuk Seri Mohamad Hassan tetapi ada agenda lebih besar.

“Motif mereka bukan semata mata mahu buang Zahid dan Mohammad Hassan. Ia ada agenda lebih besar dari itu.

“Motif utama mereka ialah Umno mesti kekal dalam kerajaan PN. Sekaligus jawatan mereka kekal,” kata anggota Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Dr Puad Zarkashi.

Atas dasar itu, beliau bersetuju dengan gesaan Datuk Seri Nazri Aziz agar semua menteri Umno meletak jawatan.

Kata Puad, ada segelintir melihat dengan jawatan Menteri mereka lebih mudah menang jika bertanding jawatan utama parti termasuk MKT.

“Bila tidak berjawatan utama dalam parti, nama mereka tenggelam.
“Jawatan Menteri jadikan mereka masih relevan dalam politik negara,” kata bekas Ketua Pengarah Jasa, badan propaganda kerajaan BN dahulu itu.

Menurut bekas timbalan menteri itu juga, ada sebahagian dari mereka mahu kekal jawatan menteri untuk mengelakkan siasatan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan juga Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Ada juga yang rasa lebih selamat bila jadi menteri. Mereka bimbang gangguan LHDN dan SPRM.

“Sebelum jadi menteri mereka beberapa kali dipanggil SPRM,” kata beliau.

Bagi Puad, apa pun matlamat kumpulan yang dinamakan Umno 3.0 ini, mereka pasti gagal jika berniat untuk ubah keputusan PAU 2020 di mana Umno mesti keluar dari kerajaan PN.

“Pada mereka buang Zahid memudahkan usaha untuk batal mandat PAU kepada Presiden untuk tentukan tarikh keluar dari kerajaan PN.

“Hampir 99% kluster Menteri berdiri dan angkat tangan sokong Umno keluar dari kerajaan PN.

“Maka apa maruah pendokong UMNO 3.0 jika menentang keputusan PAU 2020?” tanya beliau lagi.

Sebuah laman berita baru-baru ini, mendakwa wujudnya kumpulan Umno 3.0.

“Betulkah? Ada Individu tertentu menafikannya. Mereka tidak mahu isu audio perbualan Zahid-Anwar tenggelam,” kata Puad.

Bagi beliau, nama kumpulan tidak penting.

Sesiapapun boleh nafi, katanya. Tetapi perancangan mereka itu yang jadi isu.

“Apakah ia wujud? Ternyata tindak tanduk mereka bukan lagi rahsia.

“Siapa mereka? Ia juga bukan rahsia.

“Ada yang buat kenyataan terbuka supaya pemilihan parti disegerakan. Mereka yakin masalah parti selesai jika pemilihan parti disegerakan,” katanya.