Motor lawan arus di Link Kedua perlu diselesaikan

Motor lawan arus di Link Kedua perlu diselesaikan

Cheo Yee How

Kejadian motorsikal yang melawan arus di Link Kedua yang menghubungkan Johor Bahru dan negara Singapura telah mendapat perhatian ramai pihak khususnya mereka yang berkerja di negara jiran itu.

Tindakan penunggang motorsikal yang tidak mempedulikan soal keselamatan itu telah menggunakan lorong pusingan U untuk mereka lalui bertujuan memotong barisan kesesakan.

Perkara tersebut telah mendapat perhatian dari Adun Perling, Cheo Yee How yang juga merupakan pengerusi Task Force Kesesakan Johor Bahru.

Cheo ketika dihubungi mendakwa, terdapat sekitar beratus motorsikal yang melawan arus untuk memotong barisan dan ini mengundang kepada risiko kemalangan di laluan berkenaan.

“Saya mendapati tindakan ini akan menyusahkan pihak lalu lintas yang lain dan ia turut memberi impak yang tidak baik kepada pengguna yang lain.

“Saranan saya adalah untuk pihak lebuhraya Plus menutup lorong pusingan U yang menjadi kawasan di mana pihak motorsikal berkenaan masuk sebagai jalan alternatif memotong barisan berkenaan,” ujarnya.

Beliau turut menyatakan pemindahan pusingan U adalah suatu langkah yang baik bagi mendidik penunggang motorsikal berkenaan agar mematuhi peraturan jalanraya.

“Saya mencadangkan agar pusingan U yang ada ketika ini ditutup dan ia perlu dipindahkan di sempadan antara Malaysia dan Singapura.

“Dalam pemantauan pihak kami, sekiranya pusingan U itu dijarakkan sedemikian, penunggang motorsikal tidak berani untuk melakukan perbuatan yang sebelum ini mereka lakukan.

“Selain itu cadangan saya adalah untuk pihak Plus menghadkan kegunaan simpang laluan kecemasan pada waktu puncak (5 pagi hingga 8 pagi) bagi mengelakkan pengguna motorsikal menggunakan lorong berkenaan sebagai laluan mereka sebelum memasuki lorong pusingan U,” ujarnya lagi.

Beliau telah melaporkan bahawa, pihaknya telah menemui pihak Plus dan penguatkuasa bagi membincangkan perkara ini.

Segala kata putus telah didapatkan bagi membawa isu ini kepada pihak kerajaan untuk dilaksanakan kerja-kerja berkenaan.

COMMENTS