Malaysia Dateline

Motosikal Zontes di pasaran Malaysia Mac ini

Syarikat pengedar motosikal Zontes Distribution (M) Sdn. Bhd yang beroperasi di Jitra, Kedah, hari ini melancarkan jenama motosikal premium baharu, Zontes yang bakal berada di pasaran tempatan mulai minggu pertama Mac depan.

Bercakap pada majlis pelancaran hari ini, Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dato’ Chia Beng Tat berkata jenama dari China keluaran Guangdong Tayo Motorcycle Co. Ltd, sudah berada di pasaran antarabangsa termasuk Eropah sejak 2013.

Sebanyak empat model diperkenalkan pada majlis berkenaan iaitu ZT310-T, ZT310-R, ZT310-X dan ZT310-X GP.

Ia dibina berasaskan platform teknikal asas iaitu enjin empat strok satu silinder 312 cc dan suntikan bahan api dengan 34.9 kuasa kuda (hp) pada 9,500 rpm dan tork 30 Nm pada 7,500 rpm.

“Antara kelebihan model-model ini adalah dua pilihan mod kuasa ‘economy’ serta ‘sport’ yang merupakan ciri penjimatan minyak dan menjadikan Zontes berbeza daripada jenama motosikal sedia ada di pasaran,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Pengurus Jualannya, Terren Goh berkata sebanyak 150 unit motosikal itu akan berada di pasaran Malaysia menerusi 15 pengedar sah di serata negara ini, bermula minggu pertama Mac ini.

Harga runcit bagi ZT310-T adalah RM22,800 seunit manakala ZT310-R (RM19,800), ZT310-X (RM20,800) dan ZT310-X GP (RM21,600),  tidak termasuk Cukai Jualan dan Perkhidmatan.

— BERNAMA