Malaysia Dateline

MoU cari kompromi bukan tegak tuntutan masing-masing, kata DAP

DAP menegaskan Memorandum Persefahaman (MOU) Kepercayaan-Perbekalan-Reformasi (CSR) adalah tentang mencari kompromi antara kedua-dua belah pihak berkenaan beberapa perkara dan bukannya tentang untuk menegakkan tuntutan masing-masing.

Lim Kit Siang berkata demikian apabila ada dalam kalangan penyokongnya mahu DAP mengundi untuk menolak Belanjawan 2022 yang memberikan peruntukan yang begitu besar peruntukan kepada orang Melayu dan peruntukan yang begitu sedikit kepada kaum lain.

“DAP harus mengundi untuk menolak Belanjawan 2022.

“Mereka secara tidak langsung mengatakan yang mereka tidak peduli terhadap undi daripada pengundi Cina. Jika PH memilih untuk menyokong belanjawan tersebut, saya tidak akan mengundi pada PRU15,” kata beliau merujuk nota daripada penyokong DAP.

Bagi Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu, terdapat kekeliruan dan salah faham berkenaan MoU itu satu pihak percaya bahawa Ismail Sabri telah mengkhianati parti-parti dalam kerajaan dan satu pihak lagi pula percaya bahawa keempat-empat pemimpin Pakatan Harapan telah menggadaikan prinsip dan objektif parti komponen Pakatan Harapan.

Namun katanya, tujuan MoU ditandatangani untuk menghentikan tragedi dan bencana penularan wabak Covid-19 di Malaysia, memastikan kira-kira RM45 bilion diperuntukkan untuk meringankan beban rakyat yang terjejas akibat penularan wabak Covid-19 dan memulakan reformasi Parlimen dan institusi yang mana kerajaan Ismail Sabri mempunyai masa sehingga tahun depan untuk memenuhinya.

“Saya sendiri tidak berpuas hati dengan Belanjawan 2022 yang dibentangkan Tengku Zafrul, yang mana dilihat sebagai sindrom penafian di mana kerajaan Ismail Sabri dilihat enggan untuk berdepan dengan hakikat bahawa sehingga hari MoU CSR ditandatangani oleh Perdana Menteri dan empat pemimpin Pakatan Harapan pada 13 September 2021, Malaysia telah tewas dalam perang melawan wabak Covid-19, terutama dari hari pertama pelaksanaan Darurat pada 11 Januari 2021.

“Tambah pula, Belanjawan 2022 membelakangi konsep serta objektif Keluarga Malaysia.

“Seperti yang diperkatakan saya sebelum ini, Ismail Sabri bukanlah seorang pejuang reformasi, namun beliau terpaksa menandatangani MOU CSR demi memastikan kelangsungan dan kestabilan kerajaan pimpinan beliau.

“Jika Ismail Sabri mampu untuk mengekalkan hegemoni politik UMNO, seperti yang dilakukan parti itu ketika menguasai Barisan Nasional sehingga Pilihan Raya Umum 2018, tidak mungkin Ismail Sabri akan menandatangani MOU CSR dengan Pakatan Harapan,”ujarnya lagi.

Pakatan Harapan menandatangani MOU CSR bukan dengan tujuan untuk tidak menyokong undi tidak percaya terhadap Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri atau menolak Belanjawan 2022.

“Kami akan terus tetap berpegang kepada kata-kata kami dan memenuhi janji-janji kami.

“Kami tidak memberikan sebarang komitmen untuk menyokong Belanjawan 2022. Jika kami tidak menyokong Belanjawan 2022, maka itu bermakna kami mengambil pendirian untuk berkecuali,” kata beliau.