Ada yang berpendapat perjanjian memorandum persefahaman (MoU) keyakinan-perbekalan-reformasi (CSR) antara Kerajaan Keluarga Malaysia (KM) pimpinan Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob dengan pembangkang/Pakatan Harapan (PH) yang diketuai Datuk Seri Anwar Ibrahim menguntungkan PH.
Ada pula yang mengatakan kesan sebaliknya. Kata mereka, MoU itu hanya perangkap, atau hiburan untuk melunakkan kemarahan PH agar tidak lagi ‘bising’.
Mengikut pengertian umum, kerajaan adalah pihak yang bertanggungjawab mentadbir sesebuah negara dan sudah semestinya itu dipenuhi dengan sebaik mungkin. Ertinya, kerajaan membina negara, bukan memusnahkannya (dengan apa cara pun).
Pembangkang pula bukanlah pihak yang sentiasa menentang dan membangkang apa sahaja yang kerajaan lakukan – buruk dan baik.
Sebenarnya pembangkang berperanan menyemak imbang tindak-tanduk kerajaan agar tiada penyelewengan, atau ketirisan dalam setiap aspek, dan sektor. Justeru, pembangkang bukanlah sekadar membangkang, dan menentang membuta tuli.
Usah salahtafsirkan erti pembangkang. Walau bagaimanapun, MoU-CSR yang dimeterai pada 13 September lalu itu bukanlah mengubah fungsi, dan tanggungjawab pembangkang/ PH di negara ini. PH sendiri tidak akan mengubahnya.
Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson telah menjelaskan MoU-CSR itu sebenarnya demi rakyat, dan negara untuk menghadapi COVID-19. PH masih kekal sebagai pembangkang, bukan menjadi sebahagian daripada Kerajaan KM.
Jika mahu menyemak imbang, menegur, mengkritik dan memberi cadangan kepada kerajaan, peranan itu memang telah lama dilakukan – tanpa ada, atau tidak perlu MoU-CSR. Semua pihak memakluminya.
Cuma, kelainan ini menimbulkan salah faham, dan salah sangka sesetengah penyokong terhadap pendirian PH. Matlamat MoU-CSR perlu benar-benar difahami pemimpin, dan penyokong PH.
MoU-CSR tersebut merangkumi enam perkara, iaitu Pemerkasaan Pelan COVID-19, Transformasi Pentadbiran, Pembaharuan Parlimen, Kebebasan Institusi Kehakiman, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), dan Pembentukan Jawatankuasa Pemandu.
Memang Kerajaan KM yakin memorandum persefahaman yang dizahirkan ini bukan sahaja berupaya mengenepi segala perbezaan politik, malah mampu memastikan pemulihan negara berjalan secara holistik, dan inklusif.
Kita memang mahukan pemulihan negara. Walau bagaimanapun, PH tetap akan menumbangkan Kerajaan KM. Cuma, bukan secara undi tidak percaya di Parlimen, tetapi menerusi undian rakyat dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.
Majlis MoU-CSR tersebut disempurnakan oleh Ismail bersama-sama pimpinan kanan PH, iaitu Anwar yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng; Presiden Parti Amanah Negara, Mohamad Sabu, serta Presiden UPKO, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.
Turut hadir adalah Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun dan Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim.
Ahli Parlimen yang hadir sama termasuklah Tan Sri Annuar Musa, Datuk Seri Saifuddin Ismail Nasution, Datuk Seri Salahuddin Ayub, Anthony Loke Siew Fook, dan Datuk Donald Peter Mojuntin.
Dari segi hikmahnya dan secara tidak langsung MoU-CSR menunjukkan PH sebagai pembangkang yang juga menyayangi negara, bukan perosak atau subversif seperti yang ditohmahkan selama ini.
Pada 14 September lalu di Dewan Rakyat, Ahli Parlimen Pasir Mas dari PAS, Ahmad Fadhli Shaari mengkritik PH bersikap double standard, iaitu menolak tawaran Tan Sri Mahiaddin Yassin, tetapi sedia bekerjasama dengan Ismail sedangkan perkara-perkara yang ditawarkan sama.
Menjawab kritikan itu, Anwar menegaskan PH berpegang pada perkara asas. Beliau juga menyebutkan tawaran Mahiaddin berbeza dengan tawaran Ismail.
Tegas Anwar, Mahiaddin membuat tawaran ketika dirinya sudah ‘seperti telur di hujung tanduk’. Tawaran tersebut hanya untuk menyelamatkan dirinya. Ismail, jelas Anwar, membuat tawaran setelah beliau menjadi Perdana Menteri (PM) hasil majoriti ahli Dewan Rakyat memihak kepadanya.
Meskipun Ahli Parlimen Pasir Salak yang juga ahli Majlis Tertinggi Umno, Dato’ Sri Tajuddin Abdul Rahman mengatakan Ismail tidak berunding terlebih dahulu dengan Umno sebelum menandatangani MoU-CSR itu (sebenarnya strategi untuk kekal sehingga Julai 2022), tetapi Ismail diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong sebagai PM ke-9.
Kerjasama KM-PH ini tidak membunuh cita-cita dan perjuangan PH untuk mengembalikan mandat rakyat selepas PRU15 nanti.
Dalam hal ini, benarlah peringatan Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang, bahawa ada batasan yang tidak boleh dilanggar oleh KM dan PH, misalnya menjadikan Malaysia lebih kleptokrat, kuku besi dan tidak demokratik.
Oleh kerana itulah PH hanya bekerjasama dengan KM dalam hal menangani wabak pandemik maut, bukan dalam semua perkara, apatah lagi menjadi rakan Kerajaan Perpaduan yang bersetuju dengan tindakan menambah cabutan undi dari lapan kepada 22 pada tahun ini, dan membiarkan harga barang keperluan harian terus melambung-lambung!
Lim tidak menolak kemungkinan memorandum tersebut boleh gagal. Namun demikian, kegagalan tersebut tidak boleh berpunca daripada PH yang tidak menunaikan tanggungjawab mereka.
Menurut veteran DAP itu, jaya-gagalnya Mou-CSR kerap ditanya dalam mesyuarat zoom DAP di seluruh negara. MoU-CSR berkenaan mungkin akan gagal, tambahnya, lantaran Kerajaan KM, bukan PH. PH bukan pihak yang wajar dipersalah kerana ia tetap pembangkang – tiada kuasa penentu.
Lim menegaskan sebarang kegagalan tidak boleh disebabkan oleh parti-parti PH yang tidak memenuhi komitmen di bawah memorandum berkenaan.
Hal ini, tambah Lim, disebabkan oleh parti-parti PH telah memberikan komitmen kepada MoU-CSR. Komitmen itu, tegasnya, menyedarkan pemimpin PH agar mereka perlu berintegriti, serta ada kejujuran, dan prinsip untuk memastikan janji-janji di bawah MOU-CSR dipenuhi.
Lim antara pemimpin PH yang menyokong MOU-CSR kerana beliau percaya ia akan menjadi ‘gencatan politik’ selama 10 ke 18 bulan, iaitu satu tempoh yang diperlukan untuk menangani wabak pandemik maut, dan melakukan perubahan institusi, serta reformasi Parlimen.
Memorandum itu, termasuk janji Ismail melaksanakan senarai panjang reformasi Parlimen, dan pentadbiran. Sebagai pertukarannya, PH dalam MOU-CSR itu berjanji untuk tidak menjatuhkan Ismail melalui Parlimen, dan menyokong rang undang-undang Belanjawan 2022.
Pembaharuan yang disenaraikan dalam ‘Memorandum Persefahaman tentang Transformasi dan Kestabilan Politik’ juga merangkumi janji Kerajaan KM untuk berunding dengan PH bagi Belanjawan 2022, dan menggubal undang-undang mencegah penggubal undang-undang melompat parti.
Pelaksanaan reformasi yang disenaraikan dalam memorandum itu akan dipantau oleh 10 orang anggota jawatankuasa pengarah rentas parti yang bermesyuarat dua minggu sekali.
Seperti yang dikehendaki, Lim berbesar hati melihat Ismail mula melaksanakan pelbagai cadangan dalam MOU itu, ‘terutamanya yang berkaitan dengan COVID-19 yang merupakan satu petanda baik’.
Walau bagaimanapun, seperti disebutkan tadi, ‘garis merah’ atau batasan tetap tidak boleh dicabuli oleh mana-mana pihak, misalnya, membiarkan Malaysia menjadi lebih kleptokratik, lebih autokratik, atau semakin tidak demokratik.
Mengenai usaha kerajaan memastikan kebebasan kehakiman dan menggubal undang-undang antilompat parti, Lim percaya, jaminan kebebasan sistem kehakiman ini sahaja sekalipun telah membantu menegaskan komitmen terhadap masyarakat Malaysia yang berpegang pada prinsip Perlembagaan dengan kebebasan sistem kehakiman, dan kedaulatan undang-undang.
Tegas Lim, perkara ini semestinya akan melibatkan pelbagai usaha, yang dimulakan dengan MOU-CSR, dan Jawatankuasa Pemandu memorandum CSR.
RAYUSA seorang penulis bebas yang turut menulis isu sastera dan budaya tanah air.