MoU: Kami tidak minta jawatan dan pangkat, tegas Salahuddin

Oleh NASUHA RAHMAN

Timbalan Presiden AMANAH Datuk Seri Salahuddin Ayub menegaskan keputusan muktamad untuk menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama kerajaan tidak dijanjikan sebarang jawatan atau pangkat.

Bercakap di dalam program Webinar Islam dan Kepelbagaian di Malaysia anjuran AMANAH Kedah hari ini, Salahuddin berani untuk tampil di pentas MoU yang ditandatangani atas perhitungan Pakatan Harapan demi rakyat dan negara.

“Kita tidak pernah minta apa-apa, tidak dapat apa-apa pun hatta menteri, timbalan menteri, GLC pun kita tidak minta. Kita tidak dapat apa-apa tapi kita buat demi rakyat,” kata beliau mengulangi pendirian PH menandatangani MoU itu.

Beliau menafikan dakwaan mengatakan Pakatan Harapan menandatangani MoU itu untuk mendapatkan jawatan dalam kabinet.

“Ada yang kata kita tandatangani itu untuk jadi menteri, dalam perjanjian yang diedarkan kepada rakyat sepatah pun tidak sebut perkara ini.

“Kita memang tidak mahu rahsiakan kandungan memorandum itu sebab itu kita siarkan A sampai Z kepada rakyat biar rakyat faham dan tahu apa kita mahu,” tegas beliau.

Salahuddin juga berkata jika kepimpinan mereka mahukan jawatan sudah lama ia boleh berlaku sejak Langkah Sheraton lagi di mana beberapa pimpinan AMANAH telah ditawarkan jawatan di dalam kerajaan.

“Kalau kita hendak jawatan, Dr Dzul, Mujahid dan saya sendiri ditawarkan jawatan ketika Langkah Sheraton, kalau kami mahu waktu itu kami pergi.

“Tidak. Kerana kita ada harga diri, dan kita jaga integritii,” tegasnya lagi.

Ahli Parlimen Pulai itu juga menegaskan Pakatan Harapan tidak terhegeh-hegeh untuk melakukan perjumpaan sekaligus muktamadkan MoU itu tetapi ia adalah atas desakan daripada perdana menteri.

“Apabila kita pergi setelah 6 kali jumpa ia kerana tawaran mereka. Ismail kenapa mahu berbicara dengan kita kerana dia perlukan tempoh dan dia sendiri tidak mahu jadi PM yang singkat.

“Pada tahap ini kita pun tidak mahu lagi ada lantikan PM10, dan kita akan tumpu kepada PRU kerana kita tidak tahu esok dia khianat kita balik sampai kita tidak ada nombor.

“Jadi kita pilih jalan ini iaitu nyawa yang kita kena selamatkan, selain membawa modal kita iaitu kesetiaan kita dalam PH

“PH dan pimpinan kita bukan jenis lompat sana lompat sini,” tegas beliau lagi.