Memorandum persefahaman (Mou) antara kerajaan dan Pakatan Harapan akan ditandatangani hari ini diharapkan bukan sahaja dapat mengembalikan kestabilan politik buat sementara waktu tetapi juga dapat menyumbang ke arah lanskap politik yang lebih dinamik dan konsultatif serta membudayakan politik dwi-partisan khususnya di Parlimen.
Bagaimanapun, Ahli Parlimen Seremban Anthony Loke berkata, sebagai balasan untuk persefahaman ini, pihak kerajaan pula perlu melaksanakan pelbagai dasar yang membantu rakyat serta membawa pembaharuan dalam sistem pentadbiran negara serta memperkukuhkan institusi Parlimen.
Hari ini jam 5 petang, bertempat di Bangunan Parlimen Malaysia, bakal berlaku satu peristiwa yang bersejarah dalam politik tanahair dan mungkin akan menjadi kandungan dalam buku teks sejarah pada masa hadapan.
MoU akan ditandatangani di antara Kerajaan Persekutuan Malaysia dengan parti-parti Pakatan Harapan untuk mengembalikan kestabilan politik dan menumpu sepenuh usaha bersama ke arah memerangi Covid 19, memulihkan ekonomi negara dan membawa pembaharuan serta reformasi dalam sistem pentadbiran negara.
MoU ini katanya, tidak bermaksud bahawa Pakatan Harapan telah menyertai pihak kerajaan, Ahli-ahli Parlimen PH tetap duduk di sebelah blok pembangkang dan terus memainkan peranan sebagai “check and balance” kepada kerajaan.
“Ahli-ahli Parlimen PH akan terus memantau dan mengkritik sebarang kelemahan kerajaan serta tetap lantang bersuara untuk kepentingan rakyat.
“Namun, untuk sebarang rang undang-undang dan proses Belanjawan yang perlu dirundingi dan dipersetujui bersama secara dasarnya, pihak kami akan memberikan kerjasama kepada kerajaan.